APM tangkap dua ular sawa 'gergasi' di tapak pembinaan guna jentolak




Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terpaksa menggunakan jentolak untuk memindahkan dua ekor ular sawa batik yang ditemukan di kawasan tapak pembinaan di Kampung Gong Nangka, Marang pada 8 Disember 2021.


Ular pertama seberat 250 kilogram sepanjang 5.79 meter ditemukan pada jam 1.55 tengah hari, manakala ular kedua pula ditemukan berhampiran lokasi sama pada 3.15 petang.


Pegawai APM Daerah Marang Leftenan (PA) Mujahid Abd Wahab berkata, kedua-dua reptilia itu ditemukan oleh seorang pekerja ketika sedang menggali tanah menggunakan jentolak di kawasan pembinaan itu.


Menurutnya, pihaknya menerima panggilan pertama pada 2 petang sebelum tiga anggota ke lokasi kejadian untuk menangkap reptilia itu.


"Kita mengambil masa 25 minit untuk menangkap dan memindahkannya ke dalam lori APM menggunakan jentolak dengan bantuan orang awam.


Kita sekali lagi menerima panggilan daripada individu sama pada 3.23 petang memaklumkan menemui seekor lagi ular sawa batik di kawasan sama.


"Reptilia kedua yang ditangkap ini lebih kecil berbanding ular yang pertama dan kita mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap ular seberat 100 kilogram dengan panjang 4.27 meter itu," katanya ketika dihubungi.


Mujahid berkata, kedua-dua ular itu telah diserahkan kepada Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman untuk tindakan lanjut.


Katanya, orang awam juga dinasihatkan untuk berhati-hati dan tidak mengambil tindakan sendiri jika menemui haiwan berbisa dan berbahaya sebaliknya menghubungi APM daerah atau talian kecemasan.


Ular sawa yang ditemukan di kawasan tapak pembinaan di Kampung Gong Nangka. - Foto Ihsan APM.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon