Setiba di tasik Buyut, mereka pun mula mengatur langkah mencari kawasan sekitar tasik yang sesuai dijadikan tempat memulakan misi memancing pagi itu. Langkahan pertama kaki mereka sewaktu menyusur pinggir tasik itu terhenti seketika, apabila kedinginan udara pagi seakan-akan mencucuk sehingga ke tulang kering, dipukau pepohon menghijau yang mengasyikkan menambahkan lagi kedinginan pagi itu.
Dengan persekitaran yang sejuk sambil alunan merdu suara unggas bersahutan, terlintas juga di fikiran mereka bahawa lebih enak jika pagi itu dihabiskan sahaja bersantai di rumah. Jam baru menunjukkan 7 pagi, masih terlalu awal untuk meneroka kawasan tasik itu yang masih basah hujan malam tadi.
Bagaimanapun niat itu hilang tiba-tiba sebaik sahaja kedua-dua kaki mereka terhenti di gigi air. Di hadapan, terbentang sebuah tasik yang begitu indah seakan-akan sebuah lukisan. Permukaan air yang tenang kelihatan seperti cermin memancarkan kembali rona jingga kebiruan mentari pagi hari itu. Ternyata keindahan tasik Buyut yang selama ini hanya terbayang di minda, kini terpampang di depan mata.
Mereka pun terus bertapak di pinggir tasik itu memulakan misi memancing sambil mengirup udara di kedinginan pagi. Mereka mula menurunkan kail pancing dari tebing tasik. Di saat menunggu umpan pancing di makan ikan, mereka terkenang kembali kisah legenda yang disampaikan orang tua-tua.
Legenda Tasik Buyut
Memang tasik ini nampak tenang. Namun, di sebalik ketenangannya itu banyak kisah yang tersembunyi. Kisah misteri, mistik dan legenda mengayat hati suku kaum mandungus. Di masa kini, kebanyakan penduduk kampung percaya tasik Buyut ini ada penjaganya.
Legenda Tasik Buyut
Tasik buyut pada asalnya sebuah perkampungan bogaya kira-kira 500 tahun yang lampau. Kewujudan Tasik Buyut dikaitkan dengan sikap segelintir manusia yang alpa dengan keseronokan dunia, lantas melaksanakan sesuatu perkara melampaui batas sehingga menyimpang dari landasan yang sepatutnya dilalui.
Akhirnya ketelanjuran tersebut mengundang kutukan dari maha pencipta, dengan menurunkan malapetaka untuk menghapuskan manusia yang melampaui batas itu, sambil memberi pengajaran kepada yang lain. Kampung ini dihuni oleh suku Mandungus yang hidup sebagai petani. Sudah menjadi kebiasaan etnik Mandungus apabila tanaman mengeluarkan hasil, maka diraikanlah dalam satu majlis yang meriah melibatkan seluruh penduduk kampung.
Majlis keramaian yang diadakan di iringi dengan paluan gong dan kulintangan (alat muzik tradisional), sambil dimeriahkan dengan kumpulan penari yang menggayakan tarian mongigol. Acara minum Tapai (minuman memabukkan) merancakkan lagi majlis tersebut. Akibat telalu banyak minum Tapai, para penari semakin mabuk. Akhirnya langkah tari semakin perlahan dan seorang demi seorang terkulai layu menyembah lantai.
Oleh kerana semua penari tadi tidak berdaya menerusikan tarian. Mahu tidak mahu mereka terpaksa mencari penari baru yang lebih mantap gerak tarinya. Salah seorang yang hadir menyarankan supaya beruk dan kucing mengambil alih peranan sebagai penari. Cadangan itu disetujui oleh yang lain. Lantas mereka bertungkus lumus mengandam kedua ekor haiwan tersebut supaya kelihatan anggun.
Ternyata bakat mengandam suku Mandungus sememangnya hebat. Maka terlihatlah kedua ekor haiwan tersebut tidak ubah seperti penari sebenar. Tanpa membuang masa ,mereka memapah dan terus membimbing haiwan-haiwan tersebut menari. Pada mulanya agak susah juga haiwan-haiwan tersebut menghayun langkah tarian mongigol. Lama–kelamaan haiwan-haiwan itu menari sendiri tanpa perlu dibimbing.
Sememangnya haiwan itu telah dirasuk roh jahat sehingga tidak perlu lagi dibantu oleh manusia. Kerancakan tarian kedua ekor haiwan tersebut, menyemarak kemeriahan majlis itu. Kebanyakan mereka yang melihat atur tari kedua haiwan itu mengangapnya satu jenaka, mereka ketawa terbahak-bahak melihat gelagat haiwan yang menari tanpa menyedari, tindakan tersebut mengundang malapetaka.
Langit yang pada mulanya terang-benderang tiba-tiba menjadi gelap. Hujan lebat turun mencurah-curah tanpa henti. Kilat sabung-menyabung, Guruh berdentum-dentum membelah awan. Namun manusia yang tengah leka bersukaria sedikitpun tidak menghiraukan perubahan alam tersebut. Hanya beberapa yang mula merasakan perubahan cuaca mula mengasingkan diri mencari tempat yang lebih selamat.
Langit yang pada mulanya terang-benderang tiba-tiba menjadi gelap. Hujan lebat turun mencurah-curah tanpa henti. Kilat sabung-menyabung, Guruh berdentum-dentum membelah awan. Namun manusia yang tengah leka bersukaria sedikitpun tidak menghiraukan perubahan alam tersebut. Hanya beberapa yang mula merasakan perubahan cuaca mula mengasingkan diri mencari tempat yang lebih selamat.
Setelah tiga hari tiga malam hujan turun dengan lebatnya, tanah mula menjadi lembut. Rumah panjang mula bergoyang-goyang dan mula menyusut ke bawah. Tanpa menyedari apa yang berlaku, penghuni rumah panjang terus leka bersuka ria. Apabila lantai dibasahi air, barulah sebahagian dari mereka sedar bahaya yang bakal menimpa, namun semuanya sudah terlambat. Mereka tenggelam bersama seluruh isi rumah panjang.
Setelah rumah panjang tersebut hampir tenggelam sepenuhnya, paluan gong masih kedengaran sayup-sayup di dalam bumi. Akhirnya perkampungan ini pun bertukar menjadi sebuah tasik yg terbentang luas hingga lah sekarang. Bagi mereka yang terselamat, suatu pengajaran yang amat bernilai telah mereka perolehi pada hari tersebut iaitu melampaui batas pasti akan mendapat balasan.
Info Dan Cadangan
Tasik Buyut terletak di kampung mangkalua 13 kilometer dari pekan Kota Marudu, di utara negeri Sabah. Kini merupakan sebuah Pusat Penternakan Ikan Air Tawar dan di bawah Jabatan Perikanan Sabah, cawangan Kota Marudu. Terkenal dengan kepelbagaian flora dan faunanya, tasik Buyut yang merangkumi beberapa buah tasik kecil yang terpecah dari tasik utama merupakan habitat kepada kira-kira berpuluh spesies ikan air tawar.
Namun kisah kewujudannya seakan dilupakan, dan hanya berdiri sebagai sebuah tasik untuk tujuan penyelidikan dan penternakan semata-mata. Malahan sebahagian penduduk negeri dibawah bayu tidak menyedari kewujudan tasik ini. Namun Tasik Buyut tetap berdiri sendiri menyulam cerita ketelanjuran manusia yang dibuai nikmat dunia, hingga menyimpang dari amalan hidup seharian.
Alangkah eloknya jika kisah kewujudan tersebut diwar-warkan dan dijadikan pusat pelancongan sepertimana tasik Chini di Pahang yang sinonim dengan kisah naga, dan tasik Malaya di Indonesia. Pondok rehat dan penambahan infrastruktur untuk kemudahan pengunjung, bahkan pelancong luar yang datang diutamakan. Maka itu setiap pelancong mengetahui legenda di sebalik keindahan tasik buyut, akhirnya tersebarlah kisah legenda ini setaraf tasik Chini dan tasik Malaya.
2 comments
nokotuo aman.
Buat cerpen ni geng... Hihihi. Bulih ka
EmoticonEmoticon