Memaparkan catatan dengan label Legenda. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Legenda. Papar semua catatan

Kota Purba Petra Adalah Kota Paling Menakjubkan Pernah Ada Di Dunia


Petra atau lebih mesra digelar 'The Lost City' adalah sebuah bandar bersejarah, dinobatkan sebagai satu dari tujuh keajaiban dunia pada tahun 2007 lalu. Sebahagian kecil kawasan ini di baik pulih, kemudian telah di buka untuk tujuan pelancongan. Petra adalah salah satu kota paling menakjubkan yang pernah ada di dunia, berada di wilayah Amman, Yordania.

Keunikan kota ini menarik minat ramai, bukan saja pelancong malah pernah di jadikan salah satu lokasi pengambaran filem Transformer siri Revenge of the Fallen. Mengikut teori, kota yang terletak di bahagian selatan Jordan berdekat laut mati ini ditinggalkan mungkin kerana gempa bumi yang merosakkan infrastruktur sistem perairan di kota.

Kawasan Petra terletak di tengah-tengah antara teluk Aqaba dan laut mati dengan keluasan kota ini kira-kira 264 kilometer persegi, kota ini tidak dapat dilihat secara terang-terangan bila ada yang mencarinya di atas bukit. Suku Nabatean sudah memikirkan cara agar terlindung dari serangan musuh dengan membangunkan kota di antara gunung-gunung berbatu yang tersembunyi.



Kini, tempat ini dapat dicapai dengan menggunakan kenderaan khusus yang biasanya disediakan di terminal bus Amman. Untuk masuk ke kawasan Petra, pelancong yang datang diwajibkan membayar tiket lawatan. Dengan tiket tersebut, para pengunjung berhak menunggang kuda atau unta hingga ke gerbang utama menuju Petra Treasury, merupakan salah satu bangunan utama di lokasi tersebut.

Petra bermaksud batu, merupakan sebuah kota batu yang pernah hilang selama ribuan tahun, oleh sebab itu kota ini disebut sebagai The Lost City. Ketika memasuki kawasan Petra, pengunjung akan melihat jejeran bangunan megah yang dibuat dan dipahat dari batu-batu berukuran raksasa. Tidak pasti bagaimana orang-orang pada masa itu membina dan memahat kota ini hingga menjadi kota yang sangat megah.

Di sini, pengunjung akan diajak untuk memasuki lorong sempit yang panjangnya sekitar 1 kilometer. Berjalan pelan-pelan di antara bongkahan batu-batu besar di sisi kiri dan kanan hingga tiba di tempat bangunan utama berada iaitu Petra Treasury. Bangunan cantik ini seakan sebuah istana dengan seluruh dindingnya berwarna kemerah-merahan.


Di kawasan Petra terdapat pula makam para raja, sisa runtuhan ruangan teater yang di yakini mampu menampung hingga 4 ribu orang sekaligus. Teater tersebut dibina pada era Romawi. Petra pernah dikuasai Romawi, sehingga jasad-jasad yang disimpan di dalam makam hingga simbol-simbol yang digunakan oleh suku Nabatean dibersihkan. Pihak Romawi kemudian mengalihfungsikan bangunan itu menjadi arena pengadilan dan lain-lain.

Dalam catatan sejarah, Petra adalah ibukota Kerajaan Nabatean yang didirikan Raja Aretas IV pada 9 hingga 40 SM. Ketika itu, Petra adalah kota yang kukuh dan sukar di tembusi musuh. Selain itu, Petra yang terletak di Lembah Wadi Araba memjadikan kota ini terhindar dari badai pasir. Setelah Romawi menang peperangan dan menguasai Petra pada tahun 106 M, kota ini mula menghilang dari pengetahuan umum.

Kemudian ditemui semula oleh penjelajah asal Swiss, Johan Burckhardt pada tahun 1812. Di percayai kota ini telah terkubur lebih dari 500 tahun. Selain Treasury, pelancong juga boleh menyusuri rumah-rumah kecil yang dihuni oleh penduduk Petra zaman dulu kala. Rumah itu sangat sederhana, dipahat dengan seadanya, hanya berbentuk lubang kecil seperti gua, namun di dalamnya terdapat juga ruangan-ruangan lain.

Gunung Jabal Harun atau Gunung Harun adalah yang tertinggi di Petra. Kebanyakan pelancong dari Eropah dan Amerika biasanya menghabiskan waktu 2 hingga 4 hari untuk menjelajah kota purba ini.


Misteri Keindahan Pulau Socotra Dihuni Haiwan Dan Tumbuhan Aneh

Pulau socotra

Socotra adalah sebuah pulau terpencil yang wujud sejak jutaan tahun yang lalu di lautan Hindi di Yaman. Walaupun pulau ini salah satu daripada tempat paling unik di dunia, kewujudan pulau ini seakan dirahsiakan oleh kerajaan Yaman kerana tidak pernah mempromosi untuk tujuan pelancongan.

Terdapat tumbuh-tumbuhan aneh yang tidak didapati di tempat lain, malah landskap pulau ini kelihatan seperti datang dari planet lain. Ia merupakan rumah bagi kira-kira 900 spesies flora dan fauna yang unik, dan hampir 1/3 spesies yang terdapat di pulau ini tidak dapat temui dikawasan lain.

Menurut seorang peneliti Bin's Corner, beberapa jenis tumbuhan yang ada di pulau ini telah berevolusi menyesuaikan dengan keadaan perubahan iklim dan biologi, menjadikan pemandangan yang terdapat di pulau Socotra ini sungguh menakjubkan.



Pulau ini dipercayai telah terpisah dari daratan Afrika selama 6 hingga 7 juta tahun lampau. Terletak di lautan Hindi sekitar 250 kilometer dari Somalia dan 340 kilometer dari Yaman. Pulau ini memiliki pantai berpasir yang sangat luas, gua batu kapur dan gunun-ganang yang tinggi.

Sebahagian besar kawasan pulau ini sangat panas dan kering sehingga mencipta beberapa tanaman yang menakjubkan. Pulau ini memiliki gurun tropika dengan suhu melampau dan hampir tidak pernah hujan. Keadaan ini menjadikan wujud tanaman khas seperti mawar padang pasir yang hanya boleh ditemui di pulau Socotra.

Terdapat kira-kira 40 ribu orang penduduk yang mendiami pulau ini yang memiliki tiga geografi berbeza iaitu daratan pesisir yang sempit, daratan batu kapur dan pergunungan yang mencapai ketinggian sehingga 1500 meter. Nama Socotra diambil dari bahasa Sansekerta iaitu Sukhadhara Dvipa yang bermaksud 'pulau kebahagiaan'.



Di pulau Socotra, kita boleh menemui pokok Darah Naga (Dracanea Cinnabari). Pokok Darah Naga adalah antara pokok unik terdapat di pulau ini. Pohon Darah Naga yang berbentuk payung serta cabang padat dan mempunyai getah seperti darah ini sering digunakan untuk ritual sihir, perubatan dan pewarna, sementara mawar gurun memiliki batang bulat yang menarik.

Penduduk yang hidup di pulau ini menggunakannya sebagai ubat dan kosmetik. Tidak hanya tumbuh-tumbuhan, pulau Socotra juga kaya akan haiwan cantik yang belum pernah ditemukan di tempat lain. Antara haiwan yang ditemui di sini seperti Burung, Ketam dan Laba-Laba endemik.

Di Pulau ini juga terdapat dari 90 peratus jenis reptilia. Jenis burung pula terdiri dari 192 spesies, dan 44 dari spesies itu ialah burung yang hanya kita boleh temui di pulau ini. Spesies endemik terumbu karang juga terdapat disini. Pulau ini pernah dicalonkan sebagai salah satu dari tujuh keajaiban dunia yang baru. Selain itu UNESCO memberikan penghargaan kepada pulau ini sebagai salah satu lokasi warisan dunia.



Legenda Tasik Buyut, Misteri Penampakan Perkampungan Bunian

Legenda Tasik Buyut

Kisah ini berlaku pada tahun 2001 lalu, apabila tiga kanak-kanak dikenali Akang, Ontid dan Anto pergi ke tasik Buyut kira-kira jam 7 pagi dengan niat memancing ikan. Perjalanan mereka ke tasik itu dari jalan utama cuma mengambil masa kira-kira 10 minit melalui hutan yang biasa mereka lalui. Bahkan kebanyakan penduduk kampung yang datang menjala ikan juga melalui jalan berkenaan.

Setiba di tasik Buyut, mereka pun mula mengatur langkah mencari kawasan sekitar tasik yang sesuai dijadikan tempat memulakan misi memancing pagi itu. Langkahan pertama kaki mereka sewaktu menyusur pinggir tasik itu terhenti seketika, apabila kedinginan udara pagi seakan-akan mencucuk sehingga ke tulang kering, dipukau pepohon menghijau yang mengasyikkan menambahkan lagi kedinginan pagi itu.

Dengan persekitaran yang sejuk sambil alunan merdu suara unggas bersahutan, terlintas juga di fikiran mereka bahawa lebih enak jika pagi itu dihabiskan sahaja bersantai di rumah. Jam baru menunjukkan 7 pagi, masih terlalu awal untuk meneroka kawasan tasik itu yang masih basah hujan malam tadi.

Bagaimanapun niat itu hilang tiba-tiba sebaik sahaja kedua-dua kaki mereka terhenti di gigi air. Di hadapan, terbentang sebuah tasik yang begitu indah seakan-akan sebuah lukisan. Permukaan air yang tenang kelihatan seperti cermin memancarkan kembali rona jingga kebiruan mentari pagi hari itu. Ternyata keindahan tasik Buyut yang selama ini hanya terbayang di minda, kini terpampang di depan mata.

Mereka pun terus bertapak di pinggir tasik itu memulakan misi memancing sambil mengirup udara di kedinginan pagi. Mereka mula menurunkan kail pancing dari tebing tasik. Di saat menunggu umpan pancing di makan ikan, mereka terkenang kembali kisah legenda yang disampaikan orang tua-tua.

Legenda Tasik Buyut
Memang tasik ini nampak tenang. Namun, di sebalik ketenangannya itu banyak kisah yang tersembunyi. Kisah misteri, mistik dan legenda mengayat hati suku kaum mandungus. Di masa kini, kebanyakan penduduk kampung percaya tasik Buyut ini ada penjaganya.

Legenda Tasik Buyut

Tasik buyut pada asalnya sebuah perkampungan bogaya kira-kira 500 tahun yang lampau. Kewujudan Tasik Buyut dikaitkan dengan sikap segelintir manusia yang alpa dengan keseronokan dunia, lantas melaksanakan sesuatu perkara melampaui batas sehingga menyimpang dari landasan yang sepatutnya dilalui.

Akhirnya ketelanjuran tersebut mengundang kutukan dari maha pencipta, dengan menurunkan malapetaka untuk menghapuskan manusia yang melampaui batas itu, sambil memberi pengajaran kepada yang lain. Kampung ini dihuni oleh suku Mandungus yang hidup sebagai petani. Sudah menjadi kebiasaan etnik Mandungus apabila tanaman mengeluarkan hasil, maka diraikanlah dalam satu majlis yang meriah melibatkan seluruh penduduk kampung.

Majlis keramaian yang diadakan di iringi dengan paluan gong dan kulintangan (alat muzik tradisional), sambil dimeriahkan dengan kumpulan penari yang menggayakan tarian mongigol. Acara minum Tapai (minuman memabukkan) merancakkan lagi majlis tersebut. Akibat telalu banyak minum Tapai, para penari semakin mabuk. Akhirnya langkah tari semakin perlahan dan seorang demi seorang terkulai layu menyembah lantai.

Oleh kerana semua penari tadi tidak berdaya menerusikan tarian. Mahu tidak mahu mereka terpaksa mencari penari baru yang lebih mantap gerak tarinya. Salah seorang yang hadir menyarankan supaya beruk dan kucing mengambil alih peranan sebagai penari. Cadangan itu disetujui oleh yang lain. Lantas mereka bertungkus lumus mengandam kedua ekor haiwan tersebut supaya kelihatan anggun.

Ternyata bakat mengandam suku Mandungus sememangnya hebat. Maka terlihatlah kedua ekor haiwan tersebut tidak ubah seperti penari sebenar. Tanpa membuang masa ,mereka memapah dan terus membimbing haiwan-haiwan tersebut menari. Pada mulanya agak susah juga haiwan-haiwan tersebut menghayun langkah tarian mongigol. Lama–kelamaan haiwan-haiwan itu menari sendiri tanpa perlu dibimbing. 

Sememangnya haiwan itu telah dirasuk roh jahat sehingga tidak perlu lagi dibantu oleh manusia. Kerancakan tarian kedua ekor haiwan tersebut, menyemarak kemeriahan majlis itu. Kebanyakan mereka yang melihat atur tari kedua haiwan itu mengangapnya satu jenaka, mereka ketawa terbahak-bahak melihat gelagat haiwan yang menari tanpa menyedari, tindakan tersebut mengundang malapetaka.

Langit yang pada mulanya terang-benderang tiba-tiba menjadi gelap. Hujan lebat turun mencurah-curah tanpa henti. Kilat sabung-menyabung, Guruh berdentum-dentum membelah awan. Namun manusia yang tengah leka bersukaria sedikitpun tidak menghiraukan perubahan alam tersebut. Hanya beberapa yang mula merasakan perubahan cuaca mula mengasingkan diri mencari tempat yang lebih selamat.

Setelah tiga hari tiga malam hujan turun dengan lebatnya, tanah mula menjadi lembut. Rumah panjang mula bergoyang-goyang dan mula menyusut ke bawah. Tanpa menyedari apa yang berlaku, penghuni rumah panjang terus leka bersuka ria. Apabila lantai dibasahi air, barulah sebahagian dari mereka sedar bahaya yang bakal menimpa, namun semuanya sudah terlambat. Mereka tenggelam bersama seluruh isi rumah panjang.

Setelah rumah panjang tersebut hampir tenggelam sepenuhnya, paluan gong masih kedengaran sayup-sayup di dalam bumi. Akhirnya perkampungan ini pun bertukar menjadi sebuah tasik yg terbentang luas hingga lah sekarang. Bagi mereka yang terselamat, suatu pengajaran yang amat bernilai telah mereka perolehi pada hari tersebut iaitu melampaui batas pasti akan mendapat balasan. 

Info Dan Cadangan

Tasik Buyut terletak di kampung mangkalua 13 kilometer dari pekan Kota Marudu, di utara negeri Sabah. Kini merupakan sebuah Pusat Penternakan Ikan Air Tawar dan di bawah Jabatan Perikanan Sabah, cawangan Kota Marudu. Terkenal dengan kepelbagaian flora dan faunanya, tasik Buyut yang merangkumi beberapa buah tasik kecil yang terpecah dari tasik utama merupakan habitat kepada kira-kira berpuluh spesies ikan air tawar.

Namun kisah kewujudannya seakan dilupakan, dan hanya berdiri sebagai sebuah tasik untuk tujuan penyelidikan dan penternakan semata-mata. Malahan sebahagian penduduk negeri dibawah bayu tidak menyedari kewujudan tasik ini. Namun Tasik Buyut tetap berdiri sendiri menyulam cerita ketelanjuran manusia yang dibuai nikmat dunia, hingga menyimpang dari amalan hidup seharian.

Alangkah eloknya jika kisah kewujudan tersebut diwar-warkan dan dijadikan pusat pelancongan sepertimana tasik Chini di Pahang yang sinonim dengan kisah naga, dan tasik Malaya di Indonesia. Pondok rehat dan penambahan infrastruktur untuk kemudahan pengunjung, bahkan pelancong luar yang datang diutamakan. Maka itu setiap pelancong mengetahui legenda di sebalik keindahan tasik buyut, akhirnya tersebarlah kisah legenda ini setaraf tasik Chini dan tasik Malaya.

Misteri Tasik Buyut