Pengarah Urusan kumpulan, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Nor berkata, kapal-kapal telah menyambung semula perjalanan masing-masing selepas kapal kontena gergasi itu dialih untuk membolehkan laluan perdagangan utama dunia itu dibuka kembali untuk lalu lintas.
Beliau berkata ini akan membawa hasil positif kepada pelabuhan-pelabuhan di bawah pengurusan MMC, khususnya Port of Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP), yang mengendalikan aktiviti muatan pindah kapal.
"Mereka perlu mencari tempat sementara untuk menempatkan kargo mereka dan PTP mampu menampungnya.
"Oleh itu, kami menjangkakan beberapa lonjakan akan berlaku dalam beberapa minggu ke depan selepas Ever Given dialihkan," katanya dalam sidang media maya sempena taklimat media mengenai transformasi digital MMC hari ini.
Pelabuhan Klang dan PTP adalah satu-satunya pelabuhan Malaysia yang menerima ketibaan kapal dari Eropah dan negara-negara Mediterranean. Dilaporkan sebanyak 437 kapal menunggu untuk transit melalui jalan air Terusan Suez, yang merupakan jalan air terpenting yang menghubungkan Timur dan Barat.
Sementara itu, MMC telah bekerjasama dengan penyedia perisian Ramco Systems untuk melaksanakan program transformasi digital Enterprise Resource Planning (ERP) di kesemua pelabuhannya, yang akan menyaksikan sistem ERP pelabuhan MMC digabungkan menjadi satu platform digital bersepadu.
Mengulas mengenai integrasi sistem berkenaan, Che Khalib berkata kumpulan utiliti dan infrastruktur itu telah memperuntukkan peruntukan digitalisasi yang tinggi untuk tahun 2021, tetapi enggan mendedahkan jumlahnya.
"Jumlahnya cukup besar dan anggaran kendalian yang juga besar telah diperuntukkan bagi sistem ERP, dan keseluruhan transformasi dijangka selesai pada tahun 2023," tambahnya.
Che Khalib seterusnya menjelaskan bahawa penyatuan sistem ERP di seluruh pelabuhannya akan menyaksikan pengurangan kos sekitar 20 peratus untuk semua operasi pelabuhan.
Bahagian pelabuhan dan logistik MMC merangkumi operasi PTP, Johor Port Bhd, Northport (Malaysia) Bhd, Penang Port Sdn Bhd dan Tanjung Bruas Port Sdn Bhd. MMC juga mempunyai kehadiran di Arab Saudi melalui Red Sea Gateway Terminal Company Ltd, terminal pelabuhan kontena di Jeddah Islamic Port.
"Kami juga ingin melaksanakan sistem yang sama untuk perniagaan kontena kami di bawah Kontena Nasional Bhd. Namun, sistem transformasi tidak termasuk dalam kegiatan kami di Jeddah," katanya.
ERP itu dijangka meningkatkan pengalaman pelanggan MMC, terutama melalui mod operasi standard di kesemua pelabuhannya.
EmoticonEmoticon