Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan

Lebih 1,000 Penduduk Di Tiga Kampung Resah 'Diserang' Lalat


Lebih 1,000 penduduk di tiga buah kampung di Gunung Semanggol, Bagan Serai, terpaksa berdepan gangguan lalat hampir 30 tahun berpunca daripada ladang ternakan ayam yang gagal menguruskan sistem kebersihan secara berkesan.


Masalah itu melibatkan penduduk di Kampung Balik Bukit, Kampung Jaya dan Taman Indah Jaya di Jalan Transkrian-Kamunting. Selain mengganggu rutin harian penduduk, masalah lalat turut menjejaskan para peniaga yang menjalankan perniagaan makanan.


Peniaga makanan di Taman Indah Jaya, Saniah Mastan, 61, berkata, gangguan lalat di tempat dia berniaga telah berlarutan hampir 30 tahun. Menurutnya, masalah itu menjejaskan imej kedai makannya selain terpaksa berbelanja lebih untuk membeli kertas pelekat perangkap lalat.


Katanya ketika ditemui pemberita, setiap hari dia terpaksa mengeluarkan kos sekitar RM20 untuk membeli kertas pelekat perangkap lalat. Selain itu minuman pelanggan kerap dimasuki lalat.


"Malah ada pelanggan yang mahu masuk ke kedai tiba-tiba membatalkan niat mereka setelah melihat lalat di merata-rata tempat dalam kedai. Ini kali keempat sejal awal tahun ini jumlah lalat lalu terlalu banyak di sini," ujarnya.


Menurutnya, masalah lalat itu berpunca daripada tiga ladang ternakan ayam berhampiran dengan kawasan penempatan penduduk di tiga buah kampung itu. Setiap kali pemilik ladang ternakan menjual hasil ternakannya, setiap kali itu juga penduduk akan menghadapi gangguan lalat yang banyak.


"Bukan hanya gangguan lalat ketika hendak makan, tetap semasa hendak tidur pun terpaksa menghalau lalat sebelum dapat tidur," katanya.


Sementara itu, masalah tersebut mendapat perhatian kerajaan negeri apabila Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Bekalan Makanan negeri, Razman Zakaria bersama pegawai veterinar meninjau satu daripada ladang ternakan ayam, semalam.


Razman berkata, pengusaha ladang ternakan ayam didapati langsung tidak mengikuti garis panduan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam menguruskan kebersihan secara berkesan dan menjadikan premisnya sebagai tempat pembiakan lalat.


Menurutnya, terdapat 16 blok kandang ayam di ladang ternakan itu yang memuatkan sebanyak 80,000 ekor ayam dalam satu masa.


"Pemiliknya tidak menyelenggara reban ayam mengikut ketetapan garis panduan jabatan itu yang mana air bertakung di bawah reban menyebabkan bau busuk dan menjadi tempat hinggap beratus ribu lalat.


"Pemilik ternakan baru saja menjual ke semua hasil ternakannya menyebabkan lalat mengganggu kacau hingga ke kediaman rumah penduduk dan premis perniagaan," katanya.


Menurutnya, berikutan itu pemilik ladang telah dikompaun sebanyak RM 2,000 oleh jabatan di bawah Enakmen Perladangan Unggas Negeri Perak 2005.


Tambahnya, ladang berkenaan juga tidak dibenarkan beroperasi sehingga ladang ternakan tersebut dibersihkan dan menepati syarat atau peraturan yang ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Misteri Jalan Keningau-Kimanis Yang Sering Mengundang Kemalangan Maut


KOTA KINABALU - Kereta bergerak sendiri menaiki bukit, botol minuman yang diletakkan atas jalan bergolek naik ke atas. Fenomena ini suatu ketika dulu dipercayai ada unsur kuasa mistik. Kepercayaan itu ditambah lagi dengan keadaan jalan yang sering mengundang kemalangan maut.

Tidak hairanlah jika penduduk tempatan berasakan kawasan ini sebagai 'keras' dan takut melaluinya ketika malam. Jalan Keningau ke Kimanis jaraknya sekitar 53 kilometer dan mengambil masa lebih kurang 1 jam perjalanan untuk sampai ke simpang Kimanis. Jalanraya ini dahulunya merupakan laluan mengangkut kayu balak oleh syarikat-syarikat pembalakan.

Kini, setelah dinaik taraf jalanraya Keningau-Kimanis merupakan jalan utama dari daerah Keningau ke bandar Kota Kinabalu. Boleh dikatakan jalan raya inilah digunakan oleh pengusaha teksi dan bas dari pekan Keningau Ke Kota Kinabalu saban hari.



Percaya atau tidak terdapat satu bukit di kilometer 11 dinamakan 'bukit ajaib' oleh sesetengah pengguna jalanraya. Apabila kereta kita letakkan dalam posisi gear free sepatutnya kereta tersebut meluncur menuruni bukit, tetapi sebaliknya pula berlaku seolah-olah ditarik sesuatu menaiki bukit.

Inilah yang terjadi di lebuhraya Keningau-Kimanis di Sabah disebabkan terdapatnya tarikan yang membuatkan suatu benda bergerak ke atas bukit dengan sendirinya. Tidak semua tempat disepanjang lebuhraya ini mempunyai tarikan graviti terbalik, hanya ada beberapa kawasan mempunyai tarikan sebegini.

Ada kawasan yang mempunyai tarikan tetapi sangat lemah, dan ada pula kawasan yang mempunyai tarikan yang kuat sehingga mampu menggerakkan sebuah kenderaan. Secara logik jika benda bulat diletakkan di situ, benda itu sepatut akan bergolek ke bawah tetapi sebaliknya terjadi pula.



Itulah antara keunikan bukit ajaib yang terdapat di jalan Keningau-Kimanis yang dianggap mistik oleh sesetengah orang. Fenomena di kawasan lebuhraya yang melalui Banjaran Crocker ini sebenarnya bukanlah mainan kuasa mistik sebalik kerana adanya tarikan graviti. Fenomena sama turut dikesan di beberapa tempat di seluruh dunia.

Antaranya di Wadi Al Jinn di Madinah, Los Banos di Filipina, Gunung Leh di India, Pulau Jeju di Korea Selatan, Gensu di China, beberapa tempat di England, Amerika Syarikat dan Australia. Seorang pakar Fizik Profesor iaitu Brock Wiess, merupakan individu yang menjalankan kajian terhadap fenomena graviti terbalik ini.

Beliau membuat kesimpulan berkata, bahawa bukit hanyalah ilusi dan apabila dikaji, kawasan itu sebenarnya lebih rendah dalam ketinggian daripada kawasan permulaan. Ilusi optik akan menyebabkan pokok dan cerun di sesuatu kawasan itu kelihatan lebih tinggi tetapi hakikatnya ia berada di cerun dan menuruni bukit.

Katanya, otak manusia adalah satu perkara yang berkuasa, tetapi ia boleh terpedaya dalam pelbagai cara. Lantaran itu ramai yang beranggapan graviti terbalik sebagai satu fenomena alam, yang mungkin berpunca daripada kehadiran batuan magnet, tetapi hakikatnya ini adalah ilusi optik tegasnya.