Rahsia Unik 'Wave Rock' Terbentuk 27 Bilion Tahun, Batuan Gelombang Serupa Ombak di Australia Barat


Seiring dengan Afrika, benua Australia diyakini oleh banyak saintis sebagai tanah tertua di Bumi. Tidak mengejutkan apabila terdapat banyak bukti prasejarah yang terdapat diseluruh negara ini, termasuk salah satu yang merupakan 'Wave Rock' di Taman Negara Hyden, negara Australia.


Batuan yang kelihatan seperti ombak ini terdiri daripada barisan garis granit kelabu dan merah, yang membentuk lekukan serupa ombak setinggi 15 meter. Terletak kira-kira 340 kilometer tenggara Perth, di sebelah timur kawasan pertanian Wheat Belt, Wave Rock mempunyai formasi gelombang yang sempurna sepanjang 100 meter.


Menurut papan maklumat yang tertera di sana, ahli arkeologi menganggarkan bahawa gelombang di Wave Rock mula terbentuk 27 bilion tahun yang lalu, jauh sebelum wujudnya dinosaur.


"Para penyelidik mengatakan bahawa Wave Rock adalah granit inselberg (batu gergasi tunggal) yang telah mengalami begitu banyak hakisan disebabkan oleh mineral yang dibawa oleh angin dan hujan selama berjuta-juta tahun," kata Sheenagh Collins, generasi ketiga pengendali pelancongan di Taman Nasional Hyden. 


Katanya lagi, kekuatan hakisan ini perlahan-lahan menyapu permukaan batu untuk membentuk gelombang granit yang bergaris kelabu, merah, dan oker (peralihan warna oren ke hitam). Di samping itu, kehadiran ekosistem alga di batuan tersebut menjadikan permukaan Wave Rock kelihatan mempunyai kombinasi warna coklat dan hitam jika dilihat dari kejauhan.


Sheenagh Collins (tiga dari kiri) bergambar dengan pengunjung. - Foto What's Your Reputation Worth?

"Kehadiran alga ini juga menjadikan permukaan Wave Rock berubah warna pada waktu malam pada musim panas, menjadi rona merah yang agak berkilat," jelas Collins.


Tidak diketahui dengan tepat Wave Rock mula didokumentasikan, tetapi menurut Collins, berita mengenai struktur batu purba ini sudah ada sejak abad ke-19. Wave Rock adalah penemuan yang mengejutkan bagi penjajah Eropah di Australia. Orang Ngooran (Subkelompok orang asli tempatan) tidak pernah menyebut apa-apa mengenai struktur batu purba semasa interaksi awal mereka dengan para pendatang.


"Penemuan cap tangan dan perkakas batu di sekitarnya meyakinkan para saintis bahawa orang Ngooran telah meletakkan Wave Rock sebagai tempat penting dalam kehidupan mereka," kata Collins.


Wave Rock dibuka untuk kunjungan umum sejak tahun 1928. Pada tahun 1951, Kementerian pekerjaan umum Australia memanfaatkan lembangan batu besar di dekat Wave Rock sebagai empangan kecil, yang mengumpulkan air hujan untuk mengairi tanah pertanian gandum di daerah Hyden dan sekitarnya.




Pantai buatan terbesar di dunia mampu memuatkan 8,000 pelawat


Tropical Islands Resort merupakan sebuah resort tropika tiruan yang terletak di Kreausnick, Jerman. Ia dikatakan mempunyai kolam tertutup tropika terbesar di dunia yang boleh memuatkan sehingga 8,000 pelawat setiap hari. Ia juga taman air tertutup terbesar di dunia pada keluasan 710,000 kaki persegi.


Syarikat dari Malaysia telah membeli hangar ini (sebuah kapal terbang zepplin satu ketika dulu) dan estet di sekeliling dengan harga 17.5 juta dan mengubah hangar nie menjadi pusat peranginan dengan habitat tropika buatan manusia. Ia dibuka pada 19 Diesmber 2004.


Resort ini mempunyai persekitaran yang eksotik dengan hutan hujan tropika, pantai, pokok palma, matahari buatan, orkit, dan birdsong. Dibina didalam kubah yang besar dan lengkap dengan hutan mini yang tersendiri. Hangar kapal terbang yang diubahusai menjadi taman tema dan pantai didalam bangunan ini menjadi salah satu tarikan utama di Jerman.



Resort ini teletak di Briesen, sebahagian daripada Halbe di Dahme-Spreewald, Brandenburg, Jerman iaitu kira-kira 60 kilometer selatan-tenggara Berlin. Resort ini terletak di dalam hangar yang tidak digunakan berkeluasan 1,181 kaki panjang, 689 kaki lebar dan 351 kaki tinggi. Pada isipadu 194,000,000 kaki padu, ia berdiri sebagai salah sebuah bangunan terbesar dunia mengikut isipadu dan dewan terbesar dunia tanpa sokongan tiang di dalam.


Mempunyai hampir 50,000 jenis tumbuhan yang hidup di hutan mini di dalam Tropical Island Resort, dengan suhu tetap iaitu 32 darjah celsius didalamnya walaupun suhu diluar hampir mencecah paras beku.


Pengunjung yang berasal dari negara tropika mungkin lebih selasa berada di dalam bangunan. Tapi bagi mereka yang biasa hidup dengan empat musim majoriti lebih suka berada di luar, sebab itu di resort ini turut dibina kolam di luar bangunan dan dibuka sepanjang tahun.


 Waktu terbaik untuk bermain dan merasa suasana sejuk di luar adalah ketika musim panas. Ini kerana ketika musim sejuk suhu di Berlin, akan sangat turun drastik, bahkan sampai di bawah titik beku. Kalau Kamu masih mahu berenang di sini, mungkin seluruh anggota badan bakal kaku kesejukan. 





Pelik tapi benar, salji turun di Arab Saudi dan Gurun Sahara


Ketika dunia dilanda salji dan ais di kebanyakan tempat pada Januari ini, gurun di Afrika dan Arab Saudi turut tidak terkecuali mendapat fenomena itu. Portal berita Mail Online pada Isnin melaporkan, fenomena berkenaan menyaksikan suhu sejuk terutamanya di wilayah Asir.


Pada bulan ini, di mana suhu di wilayah Asir, Arab Saudi jatuh kepada - 2 darjah Celsius berikutan cuaca sejuk dan salji. Suhu di bandar raya Riyadh, Arab Saudi adalah 14 darjah Celsius manakala Jeddah 21 darjah Celsius dan wilayah Tabuk di barat laut negara itu pula adalah pada tujuh darjah Celsius sekitar awal pagi Isnin.


Menurut portal watchernews.com salji dilaporkan melanda wilayah Asir bersempadan dengan Yaman pada 10 Januari lalu. Arab News dalam pautan terkini pada 10 Januari memaparkan sebuah video yang menunjukkan kawasan pergununan di Dahr diselimuti salji.


Sebelum ini, portal berita Al Arabiya melaporkan salji pernah turun di kawasan pergunungan wilayah tersebut 2 tahun lalu pada awal April 2018.


Seorang jurugambar, Karin Bouchetta merakamkan gambar salji di bandar kecil di kawasan pergunungan Atlas, Sahara dekat sempadan Maghribi iaitu Ain Sefra yang menunjukkan beberapa ekor unta diliputi salji pada Rabu lalu ketika suhu berada pada - 3 darjah Celsius.


Menurut MailOnline, gurun Sahara yang amat panas dijangka akan kembali hijau dalam tempoh kira-kira 15,000 tahun lagi dan ia kini mengalami perubahan cuaca sejak lebih ratusan ribu tahun lalu.


Pada tahun 2018, bandar Ain Sefra yang berada 1,000 meter dari paras laut itu diliputi salji sejak tahun 2018 dan 2017 dengan kali terakhir fenomena itu berlaku pada tahun 1980. Suhu di bandar itu kebiasaannya ialah 12 darjah Celsius pada bulan Januari dan hampir 40 darjah Celsius pada bulan Julai.


Salju turun di kawasan Tabuk, Arab Saudi beberapa hari lalu, fenomena yang jarang berlaku ini banyak dikongsi netizen di media sosial.


Sebahagian daripada Arab Saudi kini diselumuti salji terutamanya di daerah pergunungan Dahr - Foto tangkapan layar video.


Unta dirakam selepas salji turun di rantau Tabuk, Arab Saudi.


Jurugambar Karim Bouchetata merakam gambar salji melitupi Sahara.

Rangka kapal lama didakwa berusia 200 tahun ditemui di tebing Sungai Lipis


Penduduk Kampung Pagar Penjom di sini gempar dengan penemuan sebuah kapal lama bersalut tembaga yang didakwa berusia 200 tahun terdampar di tepi Sungai Lipis, Batu 6, dipercayai dibawa arus deras selepas banjir besar di kampung itu, baru-baru ini.


Sharimah Mohd Nor, 50, berkata beliau terlihat tinggalan kapal lama itu berdekatan jambatan gantung Sungai Kampung Pagar Penjom, kira-kira jam 5.00 petang semalam. Selepas penemuan itu, beliau membuat laporan di Balai Polis Penjom.


Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata anggota balai berkenaan ke lokasi dan menemui rangka kapal lama itu. Menurutnya, hasil temubual dengan penduduk mendakwa terdapat sekumpulan penduduk kampung telah mengambil komponen kapal lama berkenaan


"Ada sekeping logam yang bertulis 'VIVIA AND SONS SHEATING', namun terdapat beberapa bahagian badan kapal sudah tiada.


"pihak polis telah memaklumkan penemuan kapal terbabit kepada pihak Jabatan Warisan Negara (JWN) untuk tindakan lanjut," katanya.


Beliau berkata, menurut Akta Warisan Kebangsaan, orang ramai yang menemui objek yang dipercayai mempunyai warisan kebudayaan hendaklah memberitahu pihak berkuasa. Beliau turut menasihati orang awam agar tidak mengambil komponen atau sebahagian daripada harta tersebut untuk dijadikan bahan simpanan atau koleksi.


Azli berkata, mana-mana pihak yang memusnahkan, merosakkan, mencacatkan, melupuskan atau mengubah sesuatu warisan kebudayaan ketara tanpa suatu permit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dianggap melakukan kesalahan.


Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 47 penemuan objek di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.


Satu objek logam yang tertulis Vivian & Sons Sheating.

Antara bahagian kapal lama yang ditemui berhampiran sungai Lipis petang semalam.

Antara objek logam dipercayai paku ditemui bersama bangkai kapal berkenaan.

Sebahagian rangka kapal ditemui di Sungai Lipis selepas bencana banjir melanda daerah itu baru-baru ini, yang surut pada Rabu lalu. 

Kita tak sendirian, ada 36 tamadun maju lain luar bumi


Persoalan ini sudah lama menjadi perdebatan sama ada manusia bersendirian di alam semesta ini, ia menyentuh fikiran kita sedalam-dalamnya hingga tumbul macam-macam andaian. Bahkan, pelbagai usaha diambil untuk mencari tanda-tanda kehidupan lain di luar Bumi.


Nampaknya misteri ini perlahan-lahan mulai dirungkai, kumpulan penyelidik dari Universiti Nottingham mendakwa kemungkinan terdapat lebih daripada 30 tamadun maju dalam galaksi kita di Bimasakti. Makhluk tersebut pandai seperti manusia dan mampu berkomunikasi dari jarak jauh.


Malah ahli astrofizik mendakwa berjaya mengesan berjuta-juta isyarat daripada tamadun pintar yang dipanggil technosignatures, dalam usaha mencari kehidupan lain di angkasa (SETI).


Kenapa para ahli fizik astronomi berpendapat sedemikian? Berdasarkan jurnal astrofizik yang diterbitkan Jun lalu, ia mengambil idea evolusi, tetapi pada skala kosmik di mana tempoh lima bilion tahun dapat membentuk mahkluk yang cerdas, seperti yang berlaku di bumi.


Jumlah tamadun wujud dianggarkan dengan menggunakan kiraan dalam astrofizik yang dipanggil Astrobiological Copernican limits. 


Kehidupan di bumi bermula 4.54 bilion tahun yang lalu dan para pengkaji membuat andaian berdasarkan kiraan yang kita tak akan faham, di mana kehidupan boleh wujud pada sebuah planet dalam tempoh kurang daripada lima bilion tahun. Itu kriteria yang pertama, kajian itu kata ada dua kriteria.


Kriteria kedua adalah membuat andaian planet yang menempatkan kehidupan lain itu turut mengelilingi bintang, sama seperti Bumi mengelilingi matahari. Menggunakan kriteria tersebut, pengkaji membuat kiraan dan mendapati terdapat sebanyak 36 tamadun aktif di dalam Bimasakti.



Bagaimanapun, jarak makhluk asing tersebut dengan Bumi adalah sekitar 17,000 tahun cahaya, dan teknologi yang sedia ada tidak berupaya untuk berhubung dengan tamadun itu. 


Pendapatan tersebut hanya sekadar andaian, dan kemungkinan wujudnya mahkluk asing masih tidak jelas, walaupun ada ahli astronomi yang yakin kita tidak bersendirian dalam galaksi ini.


Namun, jika tidak ada tamadun moden yang aktif di BimaSakti hari ini, ia bukan pertanda baik bagi kita. Menurut Conselice, andaian itu boleh dijadikan petunjuk bahawa peluang bertahan hidup untuk peradaban seperti kita cukup kecil dan tidak akan bertahan lama.


Kata Conselice, hasil penyelidikan terbaru itu menunjukkan bahawa pencarian peradaban luar angkasa yang cergas tidak hanya mengungkapkan keberadaan bagaimana kehidupan, tetapi juga memberi kita petunjuk tentang berapa lama peradaban kita sendiri akan bertahan.

Digelar pulau hantu, lebih 160 ribu mati di sini ketika pandemik 'Black Death' menyerang


Pulau Poveglia yang terletak di Venice, Itali ini menyimpan satu kisah silam yang amat mengerikan. Sehingga kini, pulau ini diselubungi misteri menyebabkan tiada siapa yang berani untuk menghampirinya. Suara menjerit meminta bantuan, bayangan manusia yang dikatakan berlegar-legar di persekitaran kepulauan ini menjadi buah mulut masyarakat setempat.

Sejarah hitam Pulau Poveglia bermula sekitar tahun 1347-1351 apabila benua Eropah diserang satu pandemik 'Black Death' merupakan antara wabak penyakit terburuk yang pernah menimpa manusia. Menurut kisah pada ketika itu, Pulau Poveglia digunakan sebagai tempat untuk mengasingkan mereka yang dijangkiti penyakit berbahaya bagi mengelakkan penularan wabak berjangkit tersebut.

Black Death merupakan wabak penyakit radang paru-paru yang dibawa oleh tikus dan mudah berjangkit melalui udara. Wabak berbahaya ini dikatakan telah membunuh lebih 75 juta orang diseluruh dunia, dan separuh daripada jumlah itu merupakan orang Eropah.

Penduduk Itali tidak terkecuali daripada terkena tempias wabak yang merebak dengan pantas. Mereka yang meninggal dunia kerana wabak Black Death semuanya ditempatkan di Pulau Poveglia, mayat dicampakkan dalam satu lubang besar dan kemudiannya dibakar.



Masa itu juga, sesiapa sahaja yang menunjukkan simptom dijangkiti penyakit berkenaan akan dihantar ke pulau ini. Pesakit-pesakit akan dicampakkan di atas timbunan mayat yang sedang mereput. Tidak kira lelaki, wanita mahupun kanak-kanak kesemua mereka dibiarkan mati dalam kesakitan, sekalipun ada yang menangis dan merayu minta diselamatkan.

Dianggarkan lebih kurang 160 ribu mayat telah dikebumikan di pulau ini ketika itu. Keadaan tersebut menyebabkan Pulau Poveglia dicemari dengan bau busuk yang sangat kuat. Mayat yang dibakar bercampur dengan tanah menghasilkan lapisan abu melekit yang sangat tebal.

Selepas wabak berakhir, Pulau Poveglia dibiarkan sepi tanpa penghuni beratus tahun lamanya. Pada tahun 1922, sebuah hospital psikiatri telah dibina lengkap dengan menara loceng yang amat besar. Ketika inilah misteri bermula apabila pesakit yang dimasukkan ke hospital itu mula mengadu, mereka sering terserempak dengan jelmaan dan hantu.

Setiap malam, para pesakit telah diganggu dengan bunyi jeritan dan tangisan roh yang meminta bantuan. Mereka yang sudah tidak tahan kerap kali mengadu kepada pihak pengurusan hospital, tetapi atas alasan pesakit di sana memang mempunyai masalah mental, aduan mereka langsung tidak diendahkan.

Belum cukup dengan misteri yang melanda hospital tersebut, seorang doktor dikatakan cuba untuk membina namanya di Itali dengan mencari penawar bagi penyakit mental yang dialami pesakit di situ. Dia mula menjalankan eksperimennya sendiri dengan menyeksa pesakit-pesakit berkenaan.


Saban malam, suara pesakit yang diseksa kedengaran memecah kesunyian kawasan kepulauan itu. Menurut catatan sejarah, doktor gila itu menggunakan pelbagai peralatan seperti pahat dan tukul. Ritual tersebut didakwa dijalankan untuk mencari penawar bagi penyakit gila yang dihadapi pesakit di sana.

Kebanyakan pesakit mati dalam keadaan yang sangat mengerikan. Gangguan demi gangguan makhluk halus terus dirasai oleh pesakit di hospital tersebut. Dalam masa yang sama, mereka juga terpaksa menanggung seksaan dari eksperimen doktor berkenaan. Selepas bertahun-tahun menjalankan kegiatan gilanya, doktor itu dikatakan mula diganggu dengan bayangan mangsanya yang datang menuntut keadilan terhadap kematian mereka.

Akhirnya doktor tersebut menamatkan riwayatnya sendiri dengan terjun dari menara, iaitu tempat dia menyeksa semua pesakit di dalam hospital itu. Menurut seorang jururawat yang merupakan saksi kejadian, doktor gila itu tidak mati serta-merta ekoran kesan jatuh dari menara. Tetapi sewaktu dia sedang berbaring di bawah, tiba-tiba muncul satu jelmaan kabus besar yang kemudian mencekik dirinya sehingga mati.

Selepas kejadian itu, bunyi loceng besar di menara tersebut didengari setiap hari. Hospital berkenaan ditutup dan ditinggalkan tanpa penghuni sejak tahun 1968. Hari ini, Pulau Poveglia bukan sahaja dibiarkan sepi tanpa penghuni, malah sebarang aktiviti pelancongan ke sana juga diharamkan oleh kerajaan Itali. Nelayan tempatan juga mengelak daripada berlayar berhampiran dengan kawasan pulau ini kerana bimbang ada tulang manusia yang bakal tersangkut pada jaring jala mereka.

Misteri Jalan Keningau-Kimanis Yang Sering Mengundang Kemalangan Maut


KOTA KINABALU - Kereta bergerak sendiri menaiki bukit, botol minuman yang diletakkan atas jalan bergolek naik ke atas. Fenomena ini suatu ketika dulu dipercayai ada unsur kuasa mistik. Kepercayaan itu ditambah lagi dengan keadaan jalan yang sering mengundang kemalangan maut.

Tidak hairanlah jika penduduk tempatan berasakan kawasan ini sebagai 'keras' dan takut melaluinya ketika malam. Jalan Keningau ke Kimanis jaraknya sekitar 53 kilometer dan mengambil masa lebih kurang 1 jam perjalanan untuk sampai ke simpang Kimanis. Jalanraya ini dahulunya merupakan laluan mengangkut kayu balak oleh syarikat-syarikat pembalakan.

Kini, setelah dinaik taraf jalanraya Keningau-Kimanis merupakan jalan utama dari daerah Keningau ke bandar Kota Kinabalu. Boleh dikatakan jalan raya inilah digunakan oleh pengusaha teksi dan bas dari pekan Keningau Ke Kota Kinabalu saban hari.



Percaya atau tidak terdapat satu bukit di kilometer 11 dinamakan 'bukit ajaib' oleh sesetengah pengguna jalanraya. Apabila kereta kita letakkan dalam posisi gear free sepatutnya kereta tersebut meluncur menuruni bukit, tetapi sebaliknya pula berlaku seolah-olah ditarik sesuatu menaiki bukit.

Inilah yang terjadi di lebuhraya Keningau-Kimanis di Sabah disebabkan terdapatnya tarikan yang membuatkan suatu benda bergerak ke atas bukit dengan sendirinya. Tidak semua tempat disepanjang lebuhraya ini mempunyai tarikan graviti terbalik, hanya ada beberapa kawasan mempunyai tarikan sebegini.

Ada kawasan yang mempunyai tarikan tetapi sangat lemah, dan ada pula kawasan yang mempunyai tarikan yang kuat sehingga mampu menggerakkan sebuah kenderaan. Secara logik jika benda bulat diletakkan di situ, benda itu sepatut akan bergolek ke bawah tetapi sebaliknya terjadi pula.



Itulah antara keunikan bukit ajaib yang terdapat di jalan Keningau-Kimanis yang dianggap mistik oleh sesetengah orang. Fenomena di kawasan lebuhraya yang melalui Banjaran Crocker ini sebenarnya bukanlah mainan kuasa mistik sebalik kerana adanya tarikan graviti. Fenomena sama turut dikesan di beberapa tempat di seluruh dunia.

Antaranya di Wadi Al Jinn di Madinah, Los Banos di Filipina, Gunung Leh di India, Pulau Jeju di Korea Selatan, Gensu di China, beberapa tempat di England, Amerika Syarikat dan Australia. Seorang pakar Fizik Profesor iaitu Brock Wiess, merupakan individu yang menjalankan kajian terhadap fenomena graviti terbalik ini.

Beliau membuat kesimpulan berkata, bahawa bukit hanyalah ilusi dan apabila dikaji, kawasan itu sebenarnya lebih rendah dalam ketinggian daripada kawasan permulaan. Ilusi optik akan menyebabkan pokok dan cerun di sesuatu kawasan itu kelihatan lebih tinggi tetapi hakikatnya ia berada di cerun dan menuruni bukit.

Katanya, otak manusia adalah satu perkara yang berkuasa, tetapi ia boleh terpedaya dalam pelbagai cara. Lantaran itu ramai yang beranggapan graviti terbalik sebagai satu fenomena alam, yang mungkin berpunca daripada kehadiran batuan magnet, tetapi hakikatnya ini adalah ilusi optik tegasnya.

Kota Purba Petra Adalah Kota Paling Menakjubkan Pernah Ada Di Dunia


Petra atau lebih mesra digelar 'The Lost City' adalah sebuah bandar bersejarah, dinobatkan sebagai satu dari tujuh keajaiban dunia pada tahun 2007 lalu. Sebahagian kecil kawasan ini di baik pulih, kemudian telah di buka untuk tujuan pelancongan. Petra adalah salah satu kota paling menakjubkan yang pernah ada di dunia, berada di wilayah Amman, Yordania.

Keunikan kota ini menarik minat ramai, bukan saja pelancong malah pernah di jadikan salah satu lokasi pengambaran filem Transformer siri Revenge of the Fallen. Mengikut teori, kota yang terletak di bahagian selatan Jordan berdekat laut mati ini ditinggalkan mungkin kerana gempa bumi yang merosakkan infrastruktur sistem perairan di kota.

Kawasan Petra terletak di tengah-tengah antara teluk Aqaba dan laut mati dengan keluasan kota ini kira-kira 264 kilometer persegi, kota ini tidak dapat dilihat secara terang-terangan bila ada yang mencarinya di atas bukit. Suku Nabatean sudah memikirkan cara agar terlindung dari serangan musuh dengan membangunkan kota di antara gunung-gunung berbatu yang tersembunyi.



Kini, tempat ini dapat dicapai dengan menggunakan kenderaan khusus yang biasanya disediakan di terminal bus Amman. Untuk masuk ke kawasan Petra, pelancong yang datang diwajibkan membayar tiket lawatan. Dengan tiket tersebut, para pengunjung berhak menunggang kuda atau unta hingga ke gerbang utama menuju Petra Treasury, merupakan salah satu bangunan utama di lokasi tersebut.

Petra bermaksud batu, merupakan sebuah kota batu yang pernah hilang selama ribuan tahun, oleh sebab itu kota ini disebut sebagai The Lost City. Ketika memasuki kawasan Petra, pengunjung akan melihat jejeran bangunan megah yang dibuat dan dipahat dari batu-batu berukuran raksasa. Tidak pasti bagaimana orang-orang pada masa itu membina dan memahat kota ini hingga menjadi kota yang sangat megah.

Di sini, pengunjung akan diajak untuk memasuki lorong sempit yang panjangnya sekitar 1 kilometer. Berjalan pelan-pelan di antara bongkahan batu-batu besar di sisi kiri dan kanan hingga tiba di tempat bangunan utama berada iaitu Petra Treasury. Bangunan cantik ini seakan sebuah istana dengan seluruh dindingnya berwarna kemerah-merahan.


Di kawasan Petra terdapat pula makam para raja, sisa runtuhan ruangan teater yang di yakini mampu menampung hingga 4 ribu orang sekaligus. Teater tersebut dibina pada era Romawi. Petra pernah dikuasai Romawi, sehingga jasad-jasad yang disimpan di dalam makam hingga simbol-simbol yang digunakan oleh suku Nabatean dibersihkan. Pihak Romawi kemudian mengalihfungsikan bangunan itu menjadi arena pengadilan dan lain-lain.

Dalam catatan sejarah, Petra adalah ibukota Kerajaan Nabatean yang didirikan Raja Aretas IV pada 9 hingga 40 SM. Ketika itu, Petra adalah kota yang kukuh dan sukar di tembusi musuh. Selain itu, Petra yang terletak di Lembah Wadi Araba memjadikan kota ini terhindar dari badai pasir. Setelah Romawi menang peperangan dan menguasai Petra pada tahun 106 M, kota ini mula menghilang dari pengetahuan umum.

Kemudian ditemui semula oleh penjelajah asal Swiss, Johan Burckhardt pada tahun 1812. Di percayai kota ini telah terkubur lebih dari 500 tahun. Selain Treasury, pelancong juga boleh menyusuri rumah-rumah kecil yang dihuni oleh penduduk Petra zaman dulu kala. Rumah itu sangat sederhana, dipahat dengan seadanya, hanya berbentuk lubang kecil seperti gua, namun di dalamnya terdapat juga ruangan-ruangan lain.

Gunung Jabal Harun atau Gunung Harun adalah yang tertinggi di Petra. Kebanyakan pelancong dari Eropah dan Amerika biasanya menghabiskan waktu 2 hingga 4 hari untuk menjelajah kota purba ini.


Nostalgia Taman Tema Mimaland Terbiar Lebih 25 Tahun Kini Menjadi 'Bandar Berhantu'


Ramai tidak tahu kewujudan taman tema sehinggalah baru-baru ini Mimaland (Malaysia In Miniature Land) disenaraikan antara tempat paling menyeramkan di Malaysia. Mimaland adalah sebuah taman tema canggih dan menjadi pilihan ramai selepas memulakan operasi pada 1971.

Pada tahun 1994, taman tema terbesar di Malaysia ini terpaksa ditutup dan terbiar hingga kini. Dua insiden menyumbang kepada penutupan taman tema ini. Pertama, kemalangan terjadi di kawasan papan luncur air gergasi pada Januari 1993, menyebabkan seorang warganegara Singapura berusia 27 tahun maut.

Kedua, tanah runtuh mengakibatkan kerosakan pada dinding kolam renang di kawasan sama pada Mei 1994. Tidak pasti sama ada kejadian itu hanyalah kebetulan atau mempunyai unsur mistik seperti tersebar di Internet.



Mimaland terus pudar daripada ingatan ramai selepas ditutup sepenuhnya. Mungikn juga ramai di antara kita tidak pernah mendengar tentang Mimaland sebelum ini kan? Melalui carian maklumat di Internet mendapati Mimaland adalah taman tema pertama dan terbesar di Malaysia pada 1970-an. Merupakan taman tema paling popular ketika itu, diminati ramai khususnya penduduk sekitar Kuala Lumpur.

Mimaland juga merupakan antara lokasi pilihan untuk pengambaran filem. Adakah kamu masih ingat filem 'Gila-Gila Remaja'? Filem ini pernah menjalankan pengambaran beberapa babak di Mimaland. Menariknya tentang taman tema ini, ia bercirikan idea moden yang dilengkapi papan luncur air gergasi dan kolam renang terbesar di Asia Tenggara ketika itu.

Selain replika Dinosaur bersaiz besar dan restoran terapung, tasik untuk aktiviti bersampan dan memancing juga antara tarikan popular. Mimaland pernah menjadi taman tema canggih dan terhebat pada era 70-an yang dibangunkan meliputi kawasan seluas 300 ekar. Kini, semuanya telah berubah bagaikan 'bandar berhantu' sejak ditutup sekitar 24 tahun lalu.





Mimaland dikatakan berhantu kerana ditinggalkan sekian lama, ada menggelarnya kawasan keras dan kawasan hitam, tetapi ada laporan mengatakan syarikat hartanah berminat membangunkannya semula. Namun The Star melaporkan MPHB Capital Bhd menggugurkan perjanjian usaha sama dengan Magna Senandung Sdn Bhd, untuk membangunkan tanah Mimaland Bhd seluas 122 hektar di Gombak.

Perjanjian usaha sama itu dimeterai pada 29 April 2011 untuk membangunkan semula taman tema yang ditutup sejak 1994 ini. MPHB dilaporkan memiliki 98% kepentingan dalam Mimaland, dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MPHB berkata keputusan menamatkan perjanjian itu dibuat selepas mencapai persetujuan bersama.

Mimaland terus terbiar hingga ke hari ini diseliputi hutan tebal. 4 tahun lalu, Kelab Berbasikal Alternatif Gombak (ACCG) telah menganjurkan penjalajahan berbasikal di 'Lost World of Mimaland Mini'. Anjuran itu menarik minat 800 peserta meredah kawasan tidak berturap di Mimaland, mendaki laluan tidak rata dan anak sungai.

Selain itu, ada juga pengambaran dibuat oleh sekumpulan remaja mendedahkan pengalaman ngeri seperti mendengar suara perempuan menyanyi di tasik Mimaland, ada di antara mereka yang kerap terseliuh kaki. Yang pasti, satu ketika dulu tempat ini mengukir banyak memori indah terutama warga sekitar Kuala Lumpur.

Kumpulan City Kids sewaktu menjalani pengambaran di Mimaland untuk rancangan MELODI TV3 pada tahun 1992.

Penemuan Mengejutkan Kota Legenda Thonis Yang Hilang Di Dasar Laut Mediterranean


Sebelum ini ramai menyangka bahawa kota legenda purba Thonis-Heracleion hanyalah satu mitos. Namun penemuan ke atas kota tersebut pada tahun 2000 lalu sekaligus menyangkal dakwaan pelbagai pihak, kota yang selama ini dikatakan mitos sebenarnya pernah wujud.

Kota purba ini dikatakan lenyap di kawasan Mediterranean sekitar 1200 tahun dahulu. Kota yang diselubungi misteri ini ditelan oleh Laut Mediterranean, tertanam di dalam pasir dan lumpur beribu tahun lamanya. Hasil dari penemuan ini, ahli arkeologi akhirnya berjaya membongkar misteri Heracleion.

Mereka turut mendedahkan artifak-artifak menakjubkan yang masih terpelihara dengan baik dati penemuan itu. Kota ini dikenali sebagai Heracleion oleh orang-orang Yunani purba, dan orang-orang Mesir purba pula menyebut dengan nama Thonis.

Ahli arkeologi, iaitu Dr Franck Goddio dan pasukan dari European Institute for Underwater Acheology (IEASM) menemui kota ini pada tahun 2000. Mereka kemudian melakukan satu kajian geofizik selama empat tahun. Penemuan tersebut bermula di bahagian utara pantai Mesir.


Ciri-ciri yang terdapat pada sejarah, ukiran dan binaan yang terdapat di kota ini hampir menyerupai kota purba Atlantis. Franck Goddio dan kumpulannya mula menjejak semula kota tersebut sebelum menemui bahagian-bahagian kota lama yang berada jauh di dasar laut.

Kumpulan mereka turut menemui 64 bangkai kapal pedagang yang dipercayai menjalankan urus niaga dengan penduduk kota tersebut, syiling emas dan patung-patung gergasi. Runtuhan kota yang hilang itu ditemui 30 kaki di bawah permukaan Laut Mediterranean di Aboukir Bay, berhampiran Alexandria, Mesir.

Mereka berjaya mengeluarkan pelbagai artifak keagamaan di bandar tenggelam itu, termasuk ukiran batu 16 kaki dan batu kapur (Sarcophagi) yang dipercayai mengandungi haiwan mumia. Selain itu, pihaknya melaporkan turut menemui kepingan batu berukir tulis purba Yunani dan Mesir Purba di tapak penemuan kota tersebut.

  

Tetapi disebalik semua keseronokan atas penggalian itu, satu misteri tentang Thonis-Heracleion kekal sebahagian besarnya tidak dapat diselesaikan dengan tepat, Mengapa ia tenggelam? Berdasarkan teori awal penyelidik, kota tersebut dikatakan tergelincir ke dasar laut selepas ia dibina pada abad ke-8 sebelum Masihi.

Sebelum kota Thonis-Heracleion hilang, dikatakan kota ini dibina sekitar muara Sungai Nil. Andaian itu dibuat berdasarkan patung gergasi granit merah Dewa Hapi iaitu dewa Sungai Nil yang dijumpai bersama dengan penemuan kota tersebut. Antara teori lain yang turut dikemukakan termasuklah kenaikan paras air laut dan tragedi bencana alam yang menimpa, menyebabkan kota tersebut terkubur ribuan tahun lamanya.

Pasukan penyelidik Goddio juga berpendapat bahawa berat bangunan besar yang didirikan di atas permukaan tanah liat menyebabkan air masuk dirantau itu, dan mungkin tanah pasir telah menyebabkan sebahagian besar kota itu tenggelam ekoran gempa bumi.

Colossus Ratu Ptolemaic dibuat daripada granit merah berukuran 490 cm dan seberat 4 tan.

Franck Goddio memeriksa batu yang dipenuhi serpihan emas. Sebuah bekas emas Phiale turut dijumpai di kota Thonis-Heracleion.

Patung Gangsa firaun dari dinasti ke-26 turut ditemui di kuil sekitar Amon di Heracleion.

Franck Goddio dan pasukan penyelamnya memeriksa patung firaun. Patung gergasi itu berukuran lebih 5 meter tinggi dibuat dari granit merah.

Franck Goddio dengan tugu bersurat Heracleion yang masih utuh setinggi 1.9 meter.

Lampu minyak Gangsa Hellenistic dari abad ke-2 SM ditemui di kuil Amon.