APM tangkap dua ular sawa 'gergasi' di tapak pembinaan guna jentolak


Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terpaksa menggunakan jentolak untuk memindahkan dua ekor ular sawa batik yang ditemukan di kawasan tapak pembinaan di Kampung Gong Nangka, Marang pada 8 Disember 2021.


Ular pertama seberat 250 kilogram sepanjang 5.79 meter ditemukan pada jam 1.55 tengah hari, manakala ular kedua pula ditemukan berhampiran lokasi sama pada 3.15 petang.


Pegawai APM Daerah Marang Leftenan (PA) Mujahid Abd Wahab berkata, kedua-dua reptilia itu ditemukan oleh seorang pekerja ketika sedang menggali tanah menggunakan jentolak di kawasan pembinaan itu.


Menurutnya, pihaknya menerima panggilan pertama pada 2 petang sebelum tiga anggota ke lokasi kejadian untuk menangkap reptilia itu.


"Kita mengambil masa 25 minit untuk menangkap dan memindahkannya ke dalam lori APM menggunakan jentolak dengan bantuan orang awam.


Kita sekali lagi menerima panggilan daripada individu sama pada 3.23 petang memaklumkan menemui seekor lagi ular sawa batik di kawasan sama.


"Reptilia kedua yang ditangkap ini lebih kecil berbanding ular yang pertama dan kita mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap ular seberat 100 kilogram dengan panjang 4.27 meter itu," katanya ketika dihubungi.


Mujahid berkata, kedua-dua ular itu telah diserahkan kepada Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman untuk tindakan lanjut.


Katanya, orang awam juga dinasihatkan untuk berhati-hati dan tidak mengambil tindakan sendiri jika menemui haiwan berbisa dan berbahaya sebaliknya menghubungi APM daerah atau talian kecemasan.


Ular sawa yang ditemukan di kawasan tapak pembinaan di Kampung Gong Nangka. - Foto Ihsan APM.

Lebih 1,000 Penduduk Di Tiga Kampung Resah 'Diserang' Lalat


Lebih 1,000 penduduk di tiga buah kampung di Gunung Semanggol, Bagan Serai, terpaksa berdepan gangguan lalat hampir 30 tahun berpunca daripada ladang ternakan ayam yang gagal menguruskan sistem kebersihan secara berkesan.


Masalah itu melibatkan penduduk di Kampung Balik Bukit, Kampung Jaya dan Taman Indah Jaya di Jalan Transkrian-Kamunting. Selain mengganggu rutin harian penduduk, masalah lalat turut menjejaskan para peniaga yang menjalankan perniagaan makanan.


Peniaga makanan di Taman Indah Jaya, Saniah Mastan, 61, berkata, gangguan lalat di tempat dia berniaga telah berlarutan hampir 30 tahun. Menurutnya, masalah itu menjejaskan imej kedai makannya selain terpaksa berbelanja lebih untuk membeli kertas pelekat perangkap lalat.


Katanya ketika ditemui pemberita, setiap hari dia terpaksa mengeluarkan kos sekitar RM20 untuk membeli kertas pelekat perangkap lalat. Selain itu minuman pelanggan kerap dimasuki lalat.


"Malah ada pelanggan yang mahu masuk ke kedai tiba-tiba membatalkan niat mereka setelah melihat lalat di merata-rata tempat dalam kedai. Ini kali keempat sejal awal tahun ini jumlah lalat lalu terlalu banyak di sini," ujarnya.


Menurutnya, masalah lalat itu berpunca daripada tiga ladang ternakan ayam berhampiran dengan kawasan penempatan penduduk di tiga buah kampung itu. Setiap kali pemilik ladang ternakan menjual hasil ternakannya, setiap kali itu juga penduduk akan menghadapi gangguan lalat yang banyak.


"Bukan hanya gangguan lalat ketika hendak makan, tetap semasa hendak tidur pun terpaksa menghalau lalat sebelum dapat tidur," katanya.


Sementara itu, masalah tersebut mendapat perhatian kerajaan negeri apabila Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Bekalan Makanan negeri, Razman Zakaria bersama pegawai veterinar meninjau satu daripada ladang ternakan ayam, semalam.


Razman berkata, pengusaha ladang ternakan ayam didapati langsung tidak mengikuti garis panduan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam menguruskan kebersihan secara berkesan dan menjadikan premisnya sebagai tempat pembiakan lalat.


Menurutnya, terdapat 16 blok kandang ayam di ladang ternakan itu yang memuatkan sebanyak 80,000 ekor ayam dalam satu masa.


"Pemiliknya tidak menyelenggara reban ayam mengikut ketetapan garis panduan jabatan itu yang mana air bertakung di bawah reban menyebabkan bau busuk dan menjadi tempat hinggap beratus ribu lalat.


"Pemilik ternakan baru saja menjual ke semua hasil ternakannya menyebabkan lalat mengganggu kacau hingga ke kediaman rumah penduduk dan premis perniagaan," katanya.


Menurutnya, berikutan itu pemilik ladang telah dikompaun sebanyak RM 2,000 oleh jabatan di bawah Enakmen Perladangan Unggas Negeri Perak 2005.


Tambahnya, ladang berkenaan juga tidak dibenarkan beroperasi sehingga ladang ternakan tersebut dibersihkan dan menepati syarat atau peraturan yang ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Jiran Songlap Wang Simpanan RM26,060 Milik Warga Emas


KUANTAN - Gara-gara percayakan jiran dengan menyerahkan kad pengeluaran wang automatik (ATM) untuk menyemak baki akaun, wang simpanan milik seorang warga emas berjumlah RM26,060 didapati lesap dari akaun bank.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa seorang peneroka berusia 80 tahun mendakwa menyerahkan kad ATM kepada suspek wanita itu pada pertengahan Februari lalu.


"Lelaki itu mendakwa tujuannya menyerahkan kad itu supaya suspek dapat membantu menyemak baki akaun, memandangkan dia sukar keluar ke bandar kerana tiada ahli keluarga yang tinggal berhampiran.


"Mangsa mahu menyemak baki akaunnya selepas anak saudara lelakinya memaklumkan wang pampasan daripada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sudah dimasukkan ke akaun," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.


Mohd Wazir berkata, mangsa mendakwa suspek tidak memulangkan kad ATM miliknya selepas itu dan sering memberikan pelbagai alasan apabila ditanya mengenai status wang pampasan.


Mangsa mendakwa mengetahui baki akaun banknya berkurangan apabila anak saudaranya pulang ke kampung hujung Julai lalu dan semakan di bank mendapati terdapat 23 transaksi pengeluaran wang dibuat melalui kad ATM itu.


"Anak saudara mangsa cuba berbincang dengan suspek untuk memulangkan semula wang itu, namun suspek dikatakan berkeras menyatakan semua wang yang dikeluarkannya sudah diserahkan kepada mangsa," katanya.


Tidak berpuas hati dengan suspek, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997. Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM150,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali. - Sumber Harian Metro.

Ramai Terkedu Lihat Resit Makan Daging Lebih RM13,000


Pelbagai reaksi pengguna laman sosial apabila melihat resit pesanan makanan yang berjumlah lebih RM13,000 yang dimakan oleh sekumpulan individu selepas ia tular di laman Facebook.


Berdasarkan resit pesanan tersebut, antara hidangan yang dipesan oleh individu tersebut adalah bahagian daging A5 Wagyu Tomahawk bernilai RM6,888, Wagyu Beef RM912, dan beberapa menu lain.


Lebih menarik, hidangan Tomahawk terbabit dipercayai turut disaluti Edible Pure Gold Leaf Foil atau kertas lapisan emas yang boleh dimakan pada permukaan daging tersebut.


Secara keseluruhan, hidangan yang dipesan sekumpulan individu terbabit adalah berjumlah RM13,057.90.


Susulan perkongsian tersebut, rata-rata netizen menganggap makanan tersebut adalah sangat keterlaluan ketika ramai yang hidup susah ketika pandemik.


"RM13k untuk aku makan dua tahun mungkin . Sebulan beli brg dapur rm500 sahaja x 12 bulan," tulis Putri Amylia.


Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Abu Garcia.


"Sekali makan sahaja dah RM13k, ini kalau bantu orang susah berapa ramai orang yang lapar boleh kenyang. Berpada-padalah dalam berbelanja," tulisnya.


Namun, ada juga pengguna yang bersetuju dengan hidangan yang dimakan sekumpulan individu tersebut.


"Harga daging lembu wagyu semua orang tahu ia mahal, jadi tidak heranlah mereka sekali makan pun harga dah cecah ribuan ringgit. Bagi yang mampu apa salahnya makan makanan yang mahal," kata Ika Isabell. - Sumber Kosmo Online.

Bekas Ratu Romania Kesal Kelayakan Dipertikai, Dipecat Kerana Terlalu Cantik


Wanita cantik tak selalunya bertuah. Inilah yang berlaku kepada bekas model dan ratu cantik Romania, Claudia Nicoleta Ardelean, yang dipecat kerana 'terlalu cantik'. Kisah bekas ratu cantik ini tiba-tiba mencuri tumpuan dunia.


Tular minggu lalu apabila portal berita Romania mendedahkan bahawa Claudia Ardelean, 27, yang dilantik memegang jawatan Ahli Lembaga (tidak berbayar) di Pneumophthisiology Clinical Hospital di Cluj, tiba-tiba diarahkan berundur.


Ardelean sebelum itu dilihat memuat naik fotonya di media sosial sebagai memperingati kejayaan tersebut pada tarikh 8 Februari. Wanita jelita ini memiliki dwi-ijazah dalam jurusan Undang-undang dan Etika Eropah.


"Saya berterima kasih atas kepercayaan dan sokongan Parti Liberal Nasional Cluj!" tulis Ardelean. Walau bagaimanapun hantaran tersebut dipadamkan setelah mendapat reaksi negatif daripada pelbagai pihak yang mendakwa pelantikan jawatan itu hanya bersandarkan kecantikan Ardelean semata-mata.



Malah, tidak lama kemudian, ahli Lembaga Pengarah Majlis Bandar Cluj 'berfikir semula' tentang keputusan mereka dan mengarahkan Ardelean meletak jawatan itu serta-merta.


Terkejut dan tidak percaya mengapa pihak berkenaan mengubah keputusan, Ardelean memberitahu pihak media bahawa dia sangat kecewa terhadap kritikan yang dilemparkan.


"Saya mempunyai kepakaran dan kelayakan akademik untuk jawatan tersebut. Selain bekerja sebagai peguam, saya juga memiliki dwi-ijazah dan masih melanjutkan pengajian profesional.


"Bahkan saya seorang usahawan yang memiliki hostess agency serta syarikat pengurusan acara sendiri. Sayang sekali di Romania, sikap prejudis masih lagi berleluasa.



"Tapi saya percaya bahawa kecantikan tidak patut menghalang kerjaya profesional seseorang," ujar Ardelean yang pernah mengembangkan kerjaya dalam politik dan pernah menjadi anggota Parti Liberal Nasional Cluj.


Dalam kenyataan Presiden Majlis Cluj, Alin Tise, beliau berasa tidak selesa memecat Ardelean namun tetap menegaskan bahawa keputusan itu wajar bagi mengelak sebarang kecurigaan ke atas pelantikan tersebut.


"Saya sangat menyesali insiden ini meskipun jawatan Claudia Ardelean sebagai ahli Lembaga tidak berbayar. Dari pandangan profesional, Ardelean mempunyai kelayakan yang diperlukan, namun aspek-aspek lain berkaitan kehidupan peribadinya menjadi pertikaian.


"Jadi untuk mengelakkan sebarang masalah, kecurigaan dan tanda tanya berkaitan pelantikan ini, kami fikir adalah lebih baik untuk memecat sahaja individu berkaitan," kata beliau.

Niat nak jadi 'jutawan' hasil jual burung, sekali dicekup polis

Suspek ditahan bersama 1,455 ekor burung.

PUTRAJAYA - Cuba seludup 1,455 ekor burung murai kampung dan murai batu ke negara jiran dengan menyembunyikannya di sebuah rumah di Sungai Rengit, Kota Tinggi, Johor.


Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, semua burung dilindungi mengikut Akta Pemuliharaan Kehidupan Liar 2010 itu dipercayai cuba diseludup ke Indonesia oleh tiga lelaki tempatan.


Menurutnya, kejayaan menumpaskan aktiviti jenayah itu hasil tindakan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kota Tinggi, Johor.


"Mereka berjaya menghidu kegiatan tiga suspek berusia 30-an hingga 40-an sebelum melakukan serbuan jam 6.14 pagi semalam.


"Hasil serbuan itu, mereka menemui 97 bakul berisi 1,455 burung murai kampung. Satu lagi bakul berasingan berisi tujuh burung murai batu.


"Semua bakul itu sudah siap dikumpulkan suspek dan dipercayai sedia untuk diseludup ke negara jiran menggunakan bot," katanya.


Beliau berkata, berdasarkan anggaran kasar, seekor burung ini boleh dijual mencecah RM1,000 seekor di negara jiran mengikut kemerduan suara dan saiz.


"Difahamkan polis turut merampas dua kenderaan yang dipercayai digunakan untuk memindahkan burung berkenaan.


"Semua rampasan itu kemudian diserahkan polis kepada Pejabat Perhilitan Daerah Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 60(1a) Akta Pemuliharaan Kehidupan Liar 2010. Jika sabit kesalahan boleh didenda RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya," katanya.

Pasukan terbesar tentera udara China ceroboh Taiwan, diiringi 4 pesawat pengebom nuklear

Kapal perang, AS di perairan Laut China Selatan

TAIPEI - Taiwan mengesan 25 pesawat tentera udara China, termasuk pesawat pejuang dan pengebom nuklear, memasuki zon pengenalan pertahanan udaranya (ADIZ) semalam. Meskipun tiada kenyataan segera daripada Beijing, tindakan itu berlaku selepas Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS).


Penemuan itu menyaksikan mengeluarkan garis panduan baharu Jumaat lalu, yang membolehkan pegawai AS bertemu pegawai Taiwan lebih kerap, sekali gus mengukuhkan hubungan dengan Taipei.


Kementerian Pertahanan Taiwan berkata penerbangan tentera udara China itu merangkumi 14 pesawat pejuang J-16 dan empat J-10. Ia diiringi empat pengebom H-6K yang berkeupayaan membawa peledak nuklear, dua pesawat antikapal selam dan sebuah pesawat amaran awal.


Ia adalah kumpulan pesawat terbesar sejak kementerian itu mula melaporkan kegiatan Tentera Udara China secara kerap di ADIZ Taiwan sejak tahun lalu.


Menurut kementerian itu, pesawat pejuang Taiwan dikerah bagi memintas dan memberi amaran terhadap pesawat China, di samping sistem peluru berpandu turut digerakkan bagi memantau keadaan.


Semua pesawat China itu terbang di kawasan berhampiran Kepulauan Pratas, berdasarkan peta yang disediakan oleh Kementerian Pertahanan Taiwan.


Taiwan yang dituntut China, beberapa kali mendakwa pesawat tentera udara China menghampiri negara itu sejak beberapa bulan lalu, khususnya di kawasan zon pertahanan udara berhampiran Kepulauan Pratas.


Sebelum ini, China menyatakan misi penerbangan seumpamanya adalah bagi melindungi kedaulatan negara itu dan tindak balas terhadap 'pakatan sulit' antara Taipei dan Washington.


AS, yang tidak memiliki sebarang hubungan diplomatik rasmi dengan Taiwan, sama seperti kebanyakan negara lain, memerhatikan dengan berjaga-jaga peningkatan ketegangan dengan Beijing.

Ingatkan nak gaduh, Gorila pukul dada tanda cuba bersabar


BERLIN - Saintis-saintis Jerman percaya perbuatan gorila menumbuk dada sendiri adalah cara untuk menyatakan bahawa ia tidak mahukan pergaduhan sambil mempamerkan kekuatan kepada pihak lawan, lapor akhbar New York Times kelmarin.


Menurut majalah National Geographic, aksi yang kerap dilakukan mamalia itu sebenarnya adalah amaran awal kepada pihak lawan berhubung kekuatan sebenarnya. Ia seperti menyatakan 'jangan cari pasal dengan saya'.


"Kami mendapati perkara ini benar. Isyarat diberikan gorila jantan dengan memukul dada sendiri adalah untuk menunjukkan kekuatan dan saiz sebenarnya," ujar penyelidik Institut Evolusi dan Antropologi Max Planck, Edward Wright kepada akhbar The Guardian.


Sebelum ini, banyak pihak membuat spekulasi bahawa gorila berkomunikasi dengan cara menumbuk dada, namun tiada data untuk menyokong kenyataan tersebut.



Bagi membuktikan teori itu, Wright dan pasukannya me­luangkan masa selama 3,000 jam untuk mengkaji spesies gorila liar di Taman Gunung Berapi Nasional Rwanda.


Mereka menggunakan peralatan audio untuk merakam frekuensi tumbukan di dada, bilangan dan tempoh masa bagi setiap haiwan antara November 2015 hingga Julai 2016.


Hasil kajian itu mendapati gorila bersaiz lebih besar menghasilkan frekuensi atau kekerapan lebih perlahan berbanding gorila kecil. Kata Wright, tindakan me­numbuk dada itu adalah sebagai 'isyarat kemampuan kompetitif yang jujur'.


Ini kerana, gorila besar tidak perlu menumbuk dada­nya dengan lebih kuat disebabkan kemampuan dan saiznya yang besar berbanding gorila bersaiz kecil yang perlu menampakkan dirinya kuat.


Ia juga bererti saiz badan yang lebih besar memberikan status sosial yang lebih tinggi sekaligus memberi kelebihan kepada gorila itu untuk mengelak daripada bertindak ganas.


Selain itu, kajian tersebut turut mendapati bahawa tindakan menepuk dada turut memberi isyarat untuk menarik perhatian gorila betina.

Insiden Terusan Suez bantu lonjak aktiviti di pelabuhan MMC

Terusan Suez.
KUALA LUMPUR - MMC Corp Bhd menjangkakan jumlah muatan pindah kapal kargo akan meningkat berikutan insiden Ever Given dua minggu lalu yang menyaksikan kapal kontena itu terkandas sehingga menghalang laluan untuk lebih 300 kapal di kedua-dua arah Terusan Suez.


Pengarah Urusan kumpulan, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Nor berkata, kapal-kapal telah menyambung semula perjalanan masing-masing selepas kapal kontena gergasi itu dialih untuk membolehkan laluan perdagangan utama dunia itu dibuka kembali untuk lalu lintas.


Beliau berkata ini akan membawa hasil positif kepada pelabuhan-pelabuhan di bawah pengurusan MMC, khususnya Port of Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP), yang mengendalikan aktiviti muatan pindah kapal.


"Mereka perlu mencari tempat sementara untuk menempatkan kargo mereka dan PTP mampu menampungnya.


"Oleh itu, kami menjangkakan beberapa lonjakan akan berlaku dalam beberapa minggu ke depan selepas Ever Given dialihkan," katanya dalam sidang media maya sempena taklimat media mengenai transformasi digital MMC hari ini.


Pelabuhan Klang dan PTP adalah satu-satunya pelabuhan Malaysia yang menerima ketibaan kapal dari Eropah dan negara-negara Mediterranean. Dilaporkan sebanyak 437 kapal menunggu untuk transit melalui jalan air Terusan Suez, yang merupakan jalan air terpenting yang menghubungkan Timur dan Barat.


Sementara itu, MMC telah bekerjasama dengan penyedia perisian Ramco Systems untuk melaksanakan program transformasi digital Enterprise Resource Planning (ERP) di kesemua pelabuhannya, yang akan menyaksikan sistem ERP pelabuhan MMC digabungkan menjadi satu platform digital bersepadu.


Mengulas mengenai integrasi sistem berkenaan, Che Khalib berkata kumpulan utiliti dan infrastruktur itu telah memperuntukkan peruntukan digitalisasi yang tinggi untuk tahun 2021, tetapi enggan mendedahkan jumlahnya.


"Jumlahnya cukup besar dan anggaran kendalian yang juga besar telah diperuntukkan bagi sistem ERP, dan keseluruhan transformasi dijangka selesai pada tahun 2023," tambahnya.


Che Khalib seterusnya menjelaskan bahawa penyatuan sistem ERP di seluruh pelabuhannya akan menyaksikan pengurangan kos sekitar 20 peratus untuk semua operasi pelabuhan.


Bahagian pelabuhan dan logistik MMC merangkumi operasi PTP, Johor Port Bhd, Northport (Malaysia) Bhd, Penang Port Sdn Bhd dan Tanjung Bruas Port Sdn Bhd. MMC juga mempunyai kehadiran di Arab Saudi melalui Red Sea Gateway Terminal Company Ltd, terminal pelabuhan kontena di Jeddah Islamic Port.


"Kami juga ingin melaksanakan sistem yang sama untuk perniagaan kontena kami di bawah Kontena Nasional Bhd. Namun, sistem transformasi tidak termasuk dalam kegiatan kami di Jeddah," katanya.


ERP itu dijangka meningkatkan pengalaman pelanggan MMC, terutama melalui mod operasi standard di kesemua pelabuhannya.

Hidupan laut berwarna biru seakan makhluk asing penuhi pantai Sydney


Hidupan laut yang rupanya didakwa seakan dengan makhluk asing dilaporkan hanyut dalam jumlah besar di pantai timur Australia, minggu lalu. Akhbar Daily Star melaporkan, penemuan itu menarik ramai pihak bukan sahaja penduduk tempatan sebaliknya pengkaji biologi marin.


Blue Fleet adalah jenis siput laut, blue Glaucus, ada pula yang menyebut malaikat biru (Blue Angel), juga dikenali dengan nama lain Blue Dragon, salah satu spesies siput laut, nudibranch.


Pelajar biologi marin yang juga seorang jurugambar, Lawrence Shceele berkata, habitat asal Blue Fleet atau nama saintifiknya, blue Glaucus terletak di laut dalam. Angin kencang yang melanda timur laut Sydney mungkin menyebabkan hidupan laut dalam dihanyutkan ke pesisir pantai berkenaan.


Shceele mengikuti perjalanan hidupan yang dinamakan Blue Fleet itu dari Queensland Utara pada musim panas lalu sehinggalah ke pantai timur Sydney.


"Makhuk berwarna biru yang cantik ini dihanyutkan di perairan Sydney hari ini. Mana satu kesukaan anda?," kongsi Scheele di Instagram, miliknya.


Biarpun bersaiz kecil iaitu kira-kira satu sentimeter, hidupan ini memiliki sifat sama seperti obor-obor jenis Portuguese man-o-war yang boleh menyebabkan kesakitan teruk kepada seseorang sekiranya disengat.


"Sesetengah hidupan jenis ini adalah berbisa, jadi lebih baik tidak disentuh. Blue Fleet juga sangat kecil, jadi berhati-hatilah jika terjumpa hidupan ini di tepi pantai," katanya.


Blue Fleet yang ditemukan di pantai Australia.

Ini bukan makhluk aneh lain, tetapi juga seekor blue dragon sedang bermain dengan bluebutton.

Blue Fleet ketika melintasi permukaan lautan.

Dua spesies blue dragon yang berbeza size memakan bluebottle.

Blue dragon kecil ini cuba memakan pada bluebutton yang jauh lebih besar.

Rahsia Unik 'Wave Rock' Terbentuk 27 Bilion Tahun, Batuan Gelombang Serupa Ombak di Australia Barat


Seiring dengan Afrika, benua Australia diyakini oleh banyak saintis sebagai tanah tertua di Bumi. Tidak mengejutkan apabila terdapat banyak bukti prasejarah yang terdapat diseluruh negara ini, termasuk salah satu yang merupakan 'Wave Rock' di Taman Negara Hyden, negara Australia.


Batuan yang kelihatan seperti ombak ini terdiri daripada barisan garis granit kelabu dan merah, yang membentuk lekukan serupa ombak setinggi 15 meter. Terletak kira-kira 340 kilometer tenggara Perth, di sebelah timur kawasan pertanian Wheat Belt, Wave Rock mempunyai formasi gelombang yang sempurna sepanjang 100 meter.


Menurut papan maklumat yang tertera di sana, ahli arkeologi menganggarkan bahawa gelombang di Wave Rock mula terbentuk 27 bilion tahun yang lalu, jauh sebelum wujudnya dinosaur.


"Para penyelidik mengatakan bahawa Wave Rock adalah granit inselberg (batu gergasi tunggal) yang telah mengalami begitu banyak hakisan disebabkan oleh mineral yang dibawa oleh angin dan hujan selama berjuta-juta tahun," kata Sheenagh Collins, generasi ketiga pengendali pelancongan di Taman Nasional Hyden. 


Katanya lagi, kekuatan hakisan ini perlahan-lahan menyapu permukaan batu untuk membentuk gelombang granit yang bergaris kelabu, merah, dan oker (peralihan warna oren ke hitam). Di samping itu, kehadiran ekosistem alga di batuan tersebut menjadikan permukaan Wave Rock kelihatan mempunyai kombinasi warna coklat dan hitam jika dilihat dari kejauhan.


Sheenagh Collins (tiga dari kiri) bergambar dengan pengunjung. - Foto What's Your Reputation Worth?

"Kehadiran alga ini juga menjadikan permukaan Wave Rock berubah warna pada waktu malam pada musim panas, menjadi rona merah yang agak berkilat," jelas Collins.


Tidak diketahui dengan tepat Wave Rock mula didokumentasikan, tetapi menurut Collins, berita mengenai struktur batu purba ini sudah ada sejak abad ke-19. Wave Rock adalah penemuan yang mengejutkan bagi penjajah Eropah di Australia. Orang Ngooran (Subkelompok orang asli tempatan) tidak pernah menyebut apa-apa mengenai struktur batu purba semasa interaksi awal mereka dengan para pendatang.


"Penemuan cap tangan dan perkakas batu di sekitarnya meyakinkan para saintis bahawa orang Ngooran telah meletakkan Wave Rock sebagai tempat penting dalam kehidupan mereka," kata Collins.


Wave Rock dibuka untuk kunjungan umum sejak tahun 1928. Pada tahun 1951, Kementerian pekerjaan umum Australia memanfaatkan lembangan batu besar di dekat Wave Rock sebagai empangan kecil, yang mengumpulkan air hujan untuk mengairi tanah pertanian gandum di daerah Hyden dan sekitarnya.




Pantai buatan terbesar di dunia mampu memuatkan 8,000 pelawat


Tropical Islands Resort merupakan sebuah resort tropika tiruan yang terletak di Kreausnick, Jerman. Ia dikatakan mempunyai kolam tertutup tropika terbesar di dunia yang boleh memuatkan sehingga 8,000 pelawat setiap hari. Ia juga taman air tertutup terbesar di dunia pada keluasan 710,000 kaki persegi.


Syarikat dari Malaysia telah membeli hangar ini (sebuah kapal terbang zepplin satu ketika dulu) dan estet di sekeliling dengan harga 17.5 juta dan mengubah hangar nie menjadi pusat peranginan dengan habitat tropika buatan manusia. Ia dibuka pada 19 Diesmber 2004.


Resort ini mempunyai persekitaran yang eksotik dengan hutan hujan tropika, pantai, pokok palma, matahari buatan, orkit, dan birdsong. Dibina didalam kubah yang besar dan lengkap dengan hutan mini yang tersendiri. Hangar kapal terbang yang diubahusai menjadi taman tema dan pantai didalam bangunan ini menjadi salah satu tarikan utama di Jerman.



Resort ini teletak di Briesen, sebahagian daripada Halbe di Dahme-Spreewald, Brandenburg, Jerman iaitu kira-kira 60 kilometer selatan-tenggara Berlin. Resort ini terletak di dalam hangar yang tidak digunakan berkeluasan 1,181 kaki panjang, 689 kaki lebar dan 351 kaki tinggi. Pada isipadu 194,000,000 kaki padu, ia berdiri sebagai salah sebuah bangunan terbesar dunia mengikut isipadu dan dewan terbesar dunia tanpa sokongan tiang di dalam.


Mempunyai hampir 50,000 jenis tumbuhan yang hidup di hutan mini di dalam Tropical Island Resort, dengan suhu tetap iaitu 32 darjah celsius didalamnya walaupun suhu diluar hampir mencecah paras beku.


Pengunjung yang berasal dari negara tropika mungkin lebih selasa berada di dalam bangunan. Tapi bagi mereka yang biasa hidup dengan empat musim majoriti lebih suka berada di luar, sebab itu di resort ini turut dibina kolam di luar bangunan dan dibuka sepanjang tahun.


 Waktu terbaik untuk bermain dan merasa suasana sejuk di luar adalah ketika musim panas. Ini kerana ketika musim sejuk suhu di Berlin, akan sangat turun drastik, bahkan sampai di bawah titik beku. Kalau Kamu masih mahu berenang di sini, mungkin seluruh anggota badan bakal kaku kesejukan. 





Pelik tapi benar, salji turun di Arab Saudi dan Gurun Sahara


Ketika dunia dilanda salji dan ais di kebanyakan tempat pada Januari ini, gurun di Afrika dan Arab Saudi turut tidak terkecuali mendapat fenomena itu. Portal berita Mail Online pada Isnin melaporkan, fenomena berkenaan menyaksikan suhu sejuk terutamanya di wilayah Asir.


Pada bulan ini, di mana suhu di wilayah Asir, Arab Saudi jatuh kepada - 2 darjah Celsius berikutan cuaca sejuk dan salji. Suhu di bandar raya Riyadh, Arab Saudi adalah 14 darjah Celsius manakala Jeddah 21 darjah Celsius dan wilayah Tabuk di barat laut negara itu pula adalah pada tujuh darjah Celsius sekitar awal pagi Isnin.


Menurut portal watchernews.com salji dilaporkan melanda wilayah Asir bersempadan dengan Yaman pada 10 Januari lalu. Arab News dalam pautan terkini pada 10 Januari memaparkan sebuah video yang menunjukkan kawasan pergununan di Dahr diselimuti salji.


Sebelum ini, portal berita Al Arabiya melaporkan salji pernah turun di kawasan pergunungan wilayah tersebut 2 tahun lalu pada awal April 2018.


Seorang jurugambar, Karin Bouchetta merakamkan gambar salji di bandar kecil di kawasan pergunungan Atlas, Sahara dekat sempadan Maghribi iaitu Ain Sefra yang menunjukkan beberapa ekor unta diliputi salji pada Rabu lalu ketika suhu berada pada - 3 darjah Celsius.


Menurut MailOnline, gurun Sahara yang amat panas dijangka akan kembali hijau dalam tempoh kira-kira 15,000 tahun lagi dan ia kini mengalami perubahan cuaca sejak lebih ratusan ribu tahun lalu.


Pada tahun 2018, bandar Ain Sefra yang berada 1,000 meter dari paras laut itu diliputi salji sejak tahun 2018 dan 2017 dengan kali terakhir fenomena itu berlaku pada tahun 1980. Suhu di bandar itu kebiasaannya ialah 12 darjah Celsius pada bulan Januari dan hampir 40 darjah Celsius pada bulan Julai.


Salju turun di kawasan Tabuk, Arab Saudi beberapa hari lalu, fenomena yang jarang berlaku ini banyak dikongsi netizen di media sosial.


Sebahagian daripada Arab Saudi kini diselumuti salji terutamanya di daerah pergunungan Dahr - Foto tangkapan layar video.


Unta dirakam selepas salji turun di rantau Tabuk, Arab Saudi.


Jurugambar Karim Bouchetata merakam gambar salji melitupi Sahara.

Rangka kapal lama didakwa berusia 200 tahun ditemui di tebing Sungai Lipis


Penduduk Kampung Pagar Penjom di sini gempar dengan penemuan sebuah kapal lama bersalut tembaga yang didakwa berusia 200 tahun terdampar di tepi Sungai Lipis, Batu 6, dipercayai dibawa arus deras selepas banjir besar di kampung itu, baru-baru ini.


Sharimah Mohd Nor, 50, berkata beliau terlihat tinggalan kapal lama itu berdekatan jambatan gantung Sungai Kampung Pagar Penjom, kira-kira jam 5.00 petang semalam. Selepas penemuan itu, beliau membuat laporan di Balai Polis Penjom.


Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata anggota balai berkenaan ke lokasi dan menemui rangka kapal lama itu. Menurutnya, hasil temubual dengan penduduk mendakwa terdapat sekumpulan penduduk kampung telah mengambil komponen kapal lama berkenaan


"Ada sekeping logam yang bertulis 'VIVIA AND SONS SHEATING', namun terdapat beberapa bahagian badan kapal sudah tiada.


"pihak polis telah memaklumkan penemuan kapal terbabit kepada pihak Jabatan Warisan Negara (JWN) untuk tindakan lanjut," katanya.


Beliau berkata, menurut Akta Warisan Kebangsaan, orang ramai yang menemui objek yang dipercayai mempunyai warisan kebudayaan hendaklah memberitahu pihak berkuasa. Beliau turut menasihati orang awam agar tidak mengambil komponen atau sebahagian daripada harta tersebut untuk dijadikan bahan simpanan atau koleksi.


Azli berkata, mana-mana pihak yang memusnahkan, merosakkan, mencacatkan, melupuskan atau mengubah sesuatu warisan kebudayaan ketara tanpa suatu permit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dianggap melakukan kesalahan.


Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 47 penemuan objek di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.


Satu objek logam yang tertulis Vivian & Sons Sheating.

Antara bahagian kapal lama yang ditemui berhampiran sungai Lipis petang semalam.

Antara objek logam dipercayai paku ditemui bersama bangkai kapal berkenaan.

Sebahagian rangka kapal ditemui di Sungai Lipis selepas bencana banjir melanda daerah itu baru-baru ini, yang surut pada Rabu lalu. 

Kita tak sendirian, ada 36 tamadun maju lain luar bumi


Persoalan ini sudah lama menjadi perdebatan sama ada manusia bersendirian di alam semesta ini, ia menyentuh fikiran kita sedalam-dalamnya hingga tumbul macam-macam andaian. Bahkan, pelbagai usaha diambil untuk mencari tanda-tanda kehidupan lain di luar Bumi.


Nampaknya misteri ini perlahan-lahan mulai dirungkai, kumpulan penyelidik dari Universiti Nottingham mendakwa kemungkinan terdapat lebih daripada 30 tamadun maju dalam galaksi kita di Bimasakti. Makhluk tersebut pandai seperti manusia dan mampu berkomunikasi dari jarak jauh.


Malah ahli astrofizik mendakwa berjaya mengesan berjuta-juta isyarat daripada tamadun pintar yang dipanggil technosignatures, dalam usaha mencari kehidupan lain di angkasa (SETI).


Kenapa para ahli fizik astronomi berpendapat sedemikian? Berdasarkan jurnal astrofizik yang diterbitkan Jun lalu, ia mengambil idea evolusi, tetapi pada skala kosmik di mana tempoh lima bilion tahun dapat membentuk mahkluk yang cerdas, seperti yang berlaku di bumi.


Jumlah tamadun wujud dianggarkan dengan menggunakan kiraan dalam astrofizik yang dipanggil Astrobiological Copernican limits. 


Kehidupan di bumi bermula 4.54 bilion tahun yang lalu dan para pengkaji membuat andaian berdasarkan kiraan yang kita tak akan faham, di mana kehidupan boleh wujud pada sebuah planet dalam tempoh kurang daripada lima bilion tahun. Itu kriteria yang pertama, kajian itu kata ada dua kriteria.


Kriteria kedua adalah membuat andaian planet yang menempatkan kehidupan lain itu turut mengelilingi bintang, sama seperti Bumi mengelilingi matahari. Menggunakan kriteria tersebut, pengkaji membuat kiraan dan mendapati terdapat sebanyak 36 tamadun aktif di dalam Bimasakti.



Bagaimanapun, jarak makhluk asing tersebut dengan Bumi adalah sekitar 17,000 tahun cahaya, dan teknologi yang sedia ada tidak berupaya untuk berhubung dengan tamadun itu. 


Pendapatan tersebut hanya sekadar andaian, dan kemungkinan wujudnya mahkluk asing masih tidak jelas, walaupun ada ahli astronomi yang yakin kita tidak bersendirian dalam galaksi ini.


Namun, jika tidak ada tamadun moden yang aktif di BimaSakti hari ini, ia bukan pertanda baik bagi kita. Menurut Conselice, andaian itu boleh dijadikan petunjuk bahawa peluang bertahan hidup untuk peradaban seperti kita cukup kecil dan tidak akan bertahan lama.


Kata Conselice, hasil penyelidikan terbaru itu menunjukkan bahawa pencarian peradaban luar angkasa yang cergas tidak hanya mengungkapkan keberadaan bagaimana kehidupan, tetapi juga memberi kita petunjuk tentang berapa lama peradaban kita sendiri akan bertahan.

Digelar pulau hantu, lebih 160 ribu mati di sini ketika pandemik 'Black Death' menyerang


Pulau Poveglia yang terletak di Venice, Itali ini menyimpan satu kisah silam yang amat mengerikan. Sehingga kini, pulau ini diselubungi misteri menyebabkan tiada siapa yang berani untuk menghampirinya. Suara menjerit meminta bantuan, bayangan manusia yang dikatakan berlegar-legar di persekitaran kepulauan ini menjadi buah mulut masyarakat setempat.

Sejarah hitam Pulau Poveglia bermula sekitar tahun 1347-1351 apabila benua Eropah diserang satu pandemik 'Black Death' merupakan antara wabak penyakit terburuk yang pernah menimpa manusia. Menurut kisah pada ketika itu, Pulau Poveglia digunakan sebagai tempat untuk mengasingkan mereka yang dijangkiti penyakit berbahaya bagi mengelakkan penularan wabak berjangkit tersebut.

Black Death merupakan wabak penyakit radang paru-paru yang dibawa oleh tikus dan mudah berjangkit melalui udara. Wabak berbahaya ini dikatakan telah membunuh lebih 75 juta orang diseluruh dunia, dan separuh daripada jumlah itu merupakan orang Eropah.

Penduduk Itali tidak terkecuali daripada terkena tempias wabak yang merebak dengan pantas. Mereka yang meninggal dunia kerana wabak Black Death semuanya ditempatkan di Pulau Poveglia, mayat dicampakkan dalam satu lubang besar dan kemudiannya dibakar.



Masa itu juga, sesiapa sahaja yang menunjukkan simptom dijangkiti penyakit berkenaan akan dihantar ke pulau ini. Pesakit-pesakit akan dicampakkan di atas timbunan mayat yang sedang mereput. Tidak kira lelaki, wanita mahupun kanak-kanak kesemua mereka dibiarkan mati dalam kesakitan, sekalipun ada yang menangis dan merayu minta diselamatkan.

Dianggarkan lebih kurang 160 ribu mayat telah dikebumikan di pulau ini ketika itu. Keadaan tersebut menyebabkan Pulau Poveglia dicemari dengan bau busuk yang sangat kuat. Mayat yang dibakar bercampur dengan tanah menghasilkan lapisan abu melekit yang sangat tebal.

Selepas wabak berakhir, Pulau Poveglia dibiarkan sepi tanpa penghuni beratus tahun lamanya. Pada tahun 1922, sebuah hospital psikiatri telah dibina lengkap dengan menara loceng yang amat besar. Ketika inilah misteri bermula apabila pesakit yang dimasukkan ke hospital itu mula mengadu, mereka sering terserempak dengan jelmaan dan hantu.

Setiap malam, para pesakit telah diganggu dengan bunyi jeritan dan tangisan roh yang meminta bantuan. Mereka yang sudah tidak tahan kerap kali mengadu kepada pihak pengurusan hospital, tetapi atas alasan pesakit di sana memang mempunyai masalah mental, aduan mereka langsung tidak diendahkan.

Belum cukup dengan misteri yang melanda hospital tersebut, seorang doktor dikatakan cuba untuk membina namanya di Itali dengan mencari penawar bagi penyakit mental yang dialami pesakit di situ. Dia mula menjalankan eksperimennya sendiri dengan menyeksa pesakit-pesakit berkenaan.


Saban malam, suara pesakit yang diseksa kedengaran memecah kesunyian kawasan kepulauan itu. Menurut catatan sejarah, doktor gila itu menggunakan pelbagai peralatan seperti pahat dan tukul. Ritual tersebut didakwa dijalankan untuk mencari penawar bagi penyakit gila yang dihadapi pesakit di sana.

Kebanyakan pesakit mati dalam keadaan yang sangat mengerikan. Gangguan demi gangguan makhluk halus terus dirasai oleh pesakit di hospital tersebut. Dalam masa yang sama, mereka juga terpaksa menanggung seksaan dari eksperimen doktor berkenaan. Selepas bertahun-tahun menjalankan kegiatan gilanya, doktor itu dikatakan mula diganggu dengan bayangan mangsanya yang datang menuntut keadilan terhadap kematian mereka.

Akhirnya doktor tersebut menamatkan riwayatnya sendiri dengan terjun dari menara, iaitu tempat dia menyeksa semua pesakit di dalam hospital itu. Menurut seorang jururawat yang merupakan saksi kejadian, doktor gila itu tidak mati serta-merta ekoran kesan jatuh dari menara. Tetapi sewaktu dia sedang berbaring di bawah, tiba-tiba muncul satu jelmaan kabus besar yang kemudian mencekik dirinya sehingga mati.

Selepas kejadian itu, bunyi loceng besar di menara tersebut didengari setiap hari. Hospital berkenaan ditutup dan ditinggalkan tanpa penghuni sejak tahun 1968. Hari ini, Pulau Poveglia bukan sahaja dibiarkan sepi tanpa penghuni, malah sebarang aktiviti pelancongan ke sana juga diharamkan oleh kerajaan Itali. Nelayan tempatan juga mengelak daripada berlayar berhampiran dengan kawasan pulau ini kerana bimbang ada tulang manusia yang bakal tersangkut pada jaring jala mereka.

Misteri Jalan Keningau-Kimanis Yang Sering Mengundang Kemalangan Maut


KOTA KINABALU - Kereta bergerak sendiri menaiki bukit, botol minuman yang diletakkan atas jalan bergolek naik ke atas. Fenomena ini suatu ketika dulu dipercayai ada unsur kuasa mistik. Kepercayaan itu ditambah lagi dengan keadaan jalan yang sering mengundang kemalangan maut.

Tidak hairanlah jika penduduk tempatan berasakan kawasan ini sebagai 'keras' dan takut melaluinya ketika malam. Jalan Keningau ke Kimanis jaraknya sekitar 53 kilometer dan mengambil masa lebih kurang 1 jam perjalanan untuk sampai ke simpang Kimanis. Jalanraya ini dahulunya merupakan laluan mengangkut kayu balak oleh syarikat-syarikat pembalakan.

Kini, setelah dinaik taraf jalanraya Keningau-Kimanis merupakan jalan utama dari daerah Keningau ke bandar Kota Kinabalu. Boleh dikatakan jalan raya inilah digunakan oleh pengusaha teksi dan bas dari pekan Keningau Ke Kota Kinabalu saban hari.



Percaya atau tidak terdapat satu bukit di kilometer 11 dinamakan 'bukit ajaib' oleh sesetengah pengguna jalanraya. Apabila kereta kita letakkan dalam posisi gear free sepatutnya kereta tersebut meluncur menuruni bukit, tetapi sebaliknya pula berlaku seolah-olah ditarik sesuatu menaiki bukit.

Inilah yang terjadi di lebuhraya Keningau-Kimanis di Sabah disebabkan terdapatnya tarikan yang membuatkan suatu benda bergerak ke atas bukit dengan sendirinya. Tidak semua tempat disepanjang lebuhraya ini mempunyai tarikan graviti terbalik, hanya ada beberapa kawasan mempunyai tarikan sebegini.

Ada kawasan yang mempunyai tarikan tetapi sangat lemah, dan ada pula kawasan yang mempunyai tarikan yang kuat sehingga mampu menggerakkan sebuah kenderaan. Secara logik jika benda bulat diletakkan di situ, benda itu sepatut akan bergolek ke bawah tetapi sebaliknya terjadi pula.



Itulah antara keunikan bukit ajaib yang terdapat di jalan Keningau-Kimanis yang dianggap mistik oleh sesetengah orang. Fenomena di kawasan lebuhraya yang melalui Banjaran Crocker ini sebenarnya bukanlah mainan kuasa mistik sebalik kerana adanya tarikan graviti. Fenomena sama turut dikesan di beberapa tempat di seluruh dunia.

Antaranya di Wadi Al Jinn di Madinah, Los Banos di Filipina, Gunung Leh di India, Pulau Jeju di Korea Selatan, Gensu di China, beberapa tempat di England, Amerika Syarikat dan Australia. Seorang pakar Fizik Profesor iaitu Brock Wiess, merupakan individu yang menjalankan kajian terhadap fenomena graviti terbalik ini.

Beliau membuat kesimpulan berkata, bahawa bukit hanyalah ilusi dan apabila dikaji, kawasan itu sebenarnya lebih rendah dalam ketinggian daripada kawasan permulaan. Ilusi optik akan menyebabkan pokok dan cerun di sesuatu kawasan itu kelihatan lebih tinggi tetapi hakikatnya ia berada di cerun dan menuruni bukit.

Katanya, otak manusia adalah satu perkara yang berkuasa, tetapi ia boleh terpedaya dalam pelbagai cara. Lantaran itu ramai yang beranggapan graviti terbalik sebagai satu fenomena alam, yang mungkin berpunca daripada kehadiran batuan magnet, tetapi hakikatnya ini adalah ilusi optik tegasnya.